H.I.D.S – Permulaan Penempatan Inggeris Di Sandakan

William-Burges-Pryer
William Burges Pryer

21 Jun 1879 – Pada hari ini dalam tahun 1879, William Pryer, seorang wakil syarikat yang dikenali sebagai North Borneo Provisional Association yang kemudiannya menjadi British North Borneo Chartered Company telah membuka sebuah tapak penempatan yang baru di pinggir Teluk Sandakan. Dengan ini bermulalah penempatan Inggeris di Sandakan yang merupakan sebuah bandar tertua di Sabah.

Sebelum membuka penempatan baru di Sandakan, William Pryer telah membuat penempatan awal di sebuah tempat yang dikenali sebagai Kampung Jerman.  Kampung Jerman terletak di Pulau Timbang lebih kurang 12 batu dari bandar Sandakan. Penduduk tempatan mengenali pulau ini sebagai Pulau Jerman. Nama ini timbul apabila dalam tahun 1872, seorang bangsa Scots bernama Cowie bersama beberapa orang Jerman mendirikan sebuah gudang di pulau ini untuk memudahkan penyeludupan senjata ke Sulu.

Semasa pendaratan awalnya di Kampung Jerman, William Pryer mendapati hanya terdapat sebanyak 17 buah rumah sahaja di penempatan tersebut dan bilangan penduduknya adalah kecil. Berhampiran Kampung Jerman terdapat kampung orang-orang Sulu iaitu Kampung Timbang dan masyarakat Bajau merupakan ahli-ahli perniagaan yang berulang-alik di Teluk Sandakan.

Di peringkat awal penempatannya, William Pryer menghadapi beberapa ancaman terutamanya dari lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Teluk Sandakan dan di Sungai Kinabatangan. William Pryer terpaksa mendapatkan sokongan daripada orang-orang Bajau dan Sulu serta membuka Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai yang terpanjang di Sabah menjadi nadi utama kepada kebanyakan perniagaan hasil-hasil hutan. Walaupun Pryer cuba mengubah nama penempatan baru ini kepada ‘Elopura’ yang bermakna ‘Bandar yang indah’ tetapi nama itu cuma kekal beberapa tahun dan kembali dikenali sebagai Sandakan yang telah terkenal kira-kira 200 tahun sebelumnya.

Setelah beberapa lama, penempatan William Pryer di Kampung Jerman bertambah maju dan ancaman-ancaman lanun dari kawasan Teluk Sandakan serta sekitarnya telah dapat diatasi. Walau bagaimanapun penempatan William Pryer ini telah mengalami bencana apabila berlaku kebakaran yang memusnahkan penempatan tersebut pada 15 Jun 1879. Dengan bantuan orang-orang Sulu dan Bajau, William Pryer telah berpindah dan membuka penempatan baru di Sandakan.

Sandakan adalah ibu negeri British North Borneo dari tahun 1884. hinggalah Januari 1942, apabila tentera Jepun menawannya. Selepas pendudukan Jepun, dalam tahun 1946, Kota Kinabalu yang sebelumnya dikenali sebagai Jesselton telah diisytiharkan sebagai ibu negeri disebabkan Sandakan telah musnah akibat serangan Tentera Berikat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen