H.I.D.S – Permulaaan Pentadbiran Tentera British Di Tanah Melayu

12 September 1945 – Pada hari ini dalam tahun 1945, Pentadbiran Tentera British telah memulakan Pentadbiran Tentera bagi menggantikan pemerintahan pendudukkan Jepun di Tanah Melayu dengan adanya Pentadbiran Tentera British ini, diharapkan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu seperti sebelum pendudukan Jepun akan dapat diperluaskan. Mengikut sumber Inggeris, objektif utama Pentadbiran Tentera British di antaranya ialah untuk:

  • Mengembalikan keamanan dan undang-undang serta memupuk semangat dan kecekalan rakyat jelata.
  • Membentuk Mahkamah Jenayah secepat mungkin bagi membicarakan kes-kes jenayah.
  • Menyediakan bantuan bekalan hidup harian kepada orang-orang awam.
  • Memulihkan semula Tanah Melayu dengan secepat mungkin supaya sebuah kerajaan awam dapat diwujudkan.

Pentadbiran Tentera British adalah dibawah kuasa Pegawai Pemerintahan Angkatan Tentera di Tanah Melayu dengan arahan langsung dari Pemerintah Tertinggi Bersekutu, South East Asia Command. Di bawah Pentadbiran Tentera British ini juga Perkhidmatan Hal-Ehwal Awam atau Civil Affairs Service diwujudkan untuk menguruskan kebajikan orang-orang awam. Perkhidmatan Hal-Ehwal Awam ini di ketuai oleh Major General H.R.Hone dan dibantu oleh Brigadier H.C.William, Brigadier Newboult dan Brigadier Mc.Kerron.

Dalam menjalankan dasar-dasar pentadbirannya, British telah menghadapi pelbagai tentangan dan rintangan dari berbagai arah termasuk dari golongan Menengah Melayu dan aristokrat dan juga golongan ‘Colonial Old Guard’. Dengan itu pentadbiran Tentera British terpaksa memberi kompromi dalam usahanya untuk mengekalkan sokongan golongan-golongan tersebut di satu pihak dengan keperluan untuk memodenkan ekonomi kolonial di pihak yang lain. Akhirnya kompromi ini terjalin dalam bentuknya yang formal dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen