Perletakan Senjata Parti Komunis Malaya Di Haadyai

Perjanjian_haadyai02 Disember 1989 – Pada hari ini dalam tahun 1989, telah berlangsung upacara menandatangani perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM). Peristiwa bersejarah ini telah berlangsung di Haadyai, Thailand bagi menamatkan permusuhan dan kegiatan bersenjata PKM. Pada masa yang sama juga satu perjanjian berasingan telah ditandatangani di antara Kerajaan Thailand dan Parti Komunis Malaya.

Perjanjian yang termeterai ini telah mewujudkan perdamaian dan keamanan demi keselamatan, kestabilan dan kemakmuran kedua-dua buah negara dengan tamatnya permusuhan dan kegiatan-kegiatan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataannya menyatakan bahawa dengan perjanjian ini, kerajaan berharap berakhirlah ancaman terhadap keselamatan negara yang berpunca daripada PKM .

Berikutan itu kerajaan bolehlah menumpukan usaha dan tenaga ke arah membangunkan ekonomi dan taraf hidup rakyat dengan lebih pesat dan gigih. Sesungguhnya, perjanjian ini besar maknanya buat negara, ini kerana tamatlah permusuhan dan kegiatan-kegiatan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya yang telah berjalan semenjak 41 tahun yang lampau.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen