H.I.D.S. – Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Diumumkan

23 Disember 1946 – Pada hari ini dalam tahun 1946, Perjanjian Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah diumumkan oleh Kerajaan British. Perjanjian ini penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali.

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris Melayu sejak bulan Jun hingga awal bulan Disember 1946. Seterusnya Perjanjian Persekutuan telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu, terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu.

Tujuan pengumuman ini ialah untuk mendapatkan pandangan orang-orang bukan Melayu yang tidak diwakili dalam Sidang Pleno itu. Antara lain Perjanjian Persekutuan menyatakan:-

  • Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negeri-negeri Melayu dan dua buah negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.
  • Pembukaan Dewan Perundangan Persekutuan yang akan diwakili oleh semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu.
  • Mengenai kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat yang lain.

Perjanjian Persekutuan juga menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal-hal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. Sultan-sultan negeri Melayu diberi kuasa penuh keatas hal-hal agama dan adat istiadat. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dikuasai oleh Kerajaan Inggeris.

Walaupun menerima banyak tentangan daripada pelbagai pihak seperti AMCJA dan PUTERA, tetapi akhirnya Perjanjian Persekutuan telah berjaya dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen