H.I.D.S. – Perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera Bermula

keretapi bukit bendera121 Oktober 1923 – Pada hari ini dalam tahun 1923, Perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera atau dahulunya dikenali sebagai ‘Penang Hill’ bermula. Bukit Bendera yang berketinggian 830 meter daripada paras laut, merupakan bukit yang pertama di negara ini yang mempunyai stesen keretapi.

Sejarah awal perkhidmatan keretapi di Bukit Bendera bermula pada tahun 1897, apabila J. Hein dan A. Wilson membuat permohonan rasmi kepada J.K Birch, Residen Kounselor Pulau Pinang untuk menjalankan perkhidmatan keretapi tarik dengan kawat ke puncak Bukit Bendera. Pada 21 November 1899, Majlis Mesyuarat Jajahan Negeri Selat di Singapura telah meluluskan Rang Undang-Undang Keretapi Bukit Bendera. Berikutan itu Syarikat Keretapi Bukit Bendera ditubuhkan oleh Kogan, Heim dan Wilson.

Syarikat yang mempunyai dua buah keretapi ini kemudiannya dibubarkan setelah mengalami kerosakan dan masalah kewangan. Selepas Perang Dunia Pertama, Kerajaan Negeri-Negeri Selat bercadang untuk membangunkan semula keretapi Bukit Bendera. Oleh itu Arnold R. Johnson, seorang jurutera tempatan dihantar ke Switzerland untuk mempelajari teknik keretapi yang digerakkan dengan kuasa elektrik. Kerja-kerja membina keretapi baru dimulakan oleh beliau pada tahun 1920.

Keretapi tersebut memulakan perkhidmatannya pada hari ini dalam tahun 1923 dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Lawrence Nums pada 1 Januari 1924. Hingga kini Keretapi Bukit Bendera masih lagi menjadi tarikan untuk para pelancong ke Pulau Pinang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen