Sir_Thomas_Stamford_Raffles
Sejarah

Perjanjian Antara Temenggung Abdul Rahman Dengan Stamford Raffles

30 Januari 1819 – Pada tahun 1818, Sir Stamford Raffles telah dilantik menjadi gabenor di salah sebuah pelabuhan British iaitu di Bengkulu, Sumatera. Stamford Raffles percaya bahawa British perlu mencari jalan untuk menjadi kuasa dominan di rantau ini. Salah satu jalan ialah dengan membina sebuah pelabuhan baru di Selat Melaka. Pelabuhan British sedia ada seperti Pulau Pinang adalah terlalu jauh di utara Selat Melaka manakala Bengkulu pula menghadap Selat Sunda.

Pada tahun 1818, setelah berjaya menyakinkan Syarikat Hindia Timur British (EIC) untuk mencari pelabuhan baru di rantau ini. Stamford Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819. Dia menjumpai sebuah perkampungan Melayu kecil di muara Sungai Singapura yang diketuai oleh Temenggung Johor iaitu Temenggung Abdul Rahman.

Pulau itu ditadbir oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Waris Sultan Johor, Tengku Abdul Rahman dikuasai oleh Belanda dan Bugis. Stamford Raffles kemudiannya mengetahui bahawa Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana abang sulungnya, Tengku Hussein tidak ada semasa ayahnya meninggal dunia. Mengikut adat Melayu, bakal sultan perlu berada disisi sultan sekiranya ingin dilantik menjadi sultan.

Sedar bahawa dia boleh memanipulasikan keadaan ini, Stamford Raffles telah menyokong Tengku Hussein untuk menjadi Sultan sekiranya Tengku Hussein sanggup membenarkan
British membuka pelabuhan di Singapura dan sebagai balasan British akan membayar wang tahunan kepada Tengku Hussein.

Mohor_Syarikat_Hindia_Timur_Inggeris

Perjanjian Antara Temenggung Abdul Rahman Dengan Stamford Raffles

Pada 30 Januari 1819, satu perjanjian antara Temenggung Abdul Rahman dengan Stamford Raffles telah ditandatangani dan perjanjian ini menjadi sah pada 6 Februari 1819 setelah ditandatangani oleh Tengku Hussein.

Di antara isi-isi perjanjian ialah:-

  • Syarikat Hindia Timur Inggeris boleh mendirikan loji di Singapura atau tempat-tempat lain dalam wilayah Kerajaan Johor – Singapura.
  • Sehubungan dengan itu Syarikat Hindia Timur Inggeris bersetuju untuk melindungi Temenggung Abdul Rahman.
  • Syarikat Hindia Timur Inggeris akan membayar tiga ribu dolar Sepanyol setahun kepada Temenggung Abdul Rahman kerana mendirikan kilang itu.
  • Temenggung Abdul Rahman tidak boleh membuat sebarang hubungan dengan negara-negara lain atau membenarkan kuasa negara-negara lain masuk ke negerinya selain dari Inggeris, selagi Syarikat Hindia Timur Inggeris masih kekal dan sanggup memberikan perlindungan menurut perjanjian itu.
  • Apabila Sultan Hussein tiba di Singapura kelak, kesemua perkara yang disebutkan dalam perjanjian ini diselesaikan serta disahkan, akan tetapi pihak Syarikat Hindia Timur boleh memilih suatu tempat untuk mendaratkan pasukan tenteranya dan barang-barang kelengkapan serta dagangan serta menaikkan bendera Syarikat.

Perjanjian antara Temenggung Abdul Rahman dan Stamford Raffles ini adalah merupakan persetujuan sementara dalam usaha Inggeris untuk menguasai Singapura kerana Temenggung itu tidak berhak menandatangani perjanjian sebenar. Hak dan kuasa itu terletak di tangan Sultan yang bersemayam di Lingga.

Perjanjian Tengku Hussein Dengan Stamford Raffles

Pada 6 Februari 1819, Tengku Long atau Tengku Hussein, waris yang sah kepada takhta Kerajaan Johor tetapi diketepikan, tiba di Singapura. Walaupun beliau tidak percayakan Inggeris tetapi oleh kerana bimbangkan kuasa Belanda dan Bugis dan dengan sokongan Temenggung Abdul Rahman, beliau telah menandatangani satu perjanjian perikatan dan persahabatan pada 6 Februari 1819 dengan Stamford Raffles. Dalam perjanjian ini beliau telah diakui dan diiktiraf oleh kerajaan Inggeris di India sebagai Sultan bagi kerajaan Johor – Singapura, bergelar Sultan Hussein Muhamad Shah.

Dengan perjanjian ini maka perjanjian awal yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1819 di antara Temenggung Abdul Rahman dan Stamford Raffles dengan sendirinya menjadi sah dan bermulalah sejarah penguasaan Inggeris ke atas Singapura.

Sumber : Arkib Negara Malaysia, Wikipedia

Standard