H. I. D. S. – Perjanjian Sempadan Selangor- Sungai Ujung

10 Februari 1878 – Pada hari ini dalam tahun 1878, satu perjanjian mengenai sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujung dibuat di antara Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor dengan Dato’ Kelana Sungai Ujung, Tengku Saiyid Abdul Rahman. Perjanjian itu antara lain menyatakan bahawa:-

  • Pertama: Dengan nasihat Kapten Bloomfield Douglas (Residen British di Selangor) Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor bagi pihak dirinya, dan puteranya Raja Musa atau sesiapa juga penggantinya yang akan ditabalkan sebagai Sultan dan waris-warisnya, mulai saat itu mengaku bahawa kawasan Lukut yang pada masa itu diperintah olch Raja Bot dan semua kawasan tanah dalam Sungai Raya yang sekarang diperintah oleh Raja Daud, yang kesemuanya itu adalah di bawah kekuasaan Sultan Abdul Samad.
  • Kedua: Dengan nasihat Kapten Murray (Residen British di Sungai Ujung) Tengku Saiyid Abdul Rahman Dato’ Kelana Sungai Ujung bagi pihak dirinya, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya atau sesiapa juga yang memerintah Sungai Ujung dan bergelar Dato’ Kelana, mengaku bahawa mulai dari saat itu kawasan yang terletak di Seberang Tebing Sungai Langat bernama Rekoh dan semua tanah bernama Labu adalah diserahkan kepada Sultan Abdul Samad Selangor, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.

Dengan perjanjian ini pihak kerajaan Inggeris yang telah mencampuri urusan pemerintahan di Sungai Ujung itu dapat pula masuk campur dalam hal ehwal Lukut. Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya dalam rundingan mengenai perjanjian itu. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujung kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat.

Perjumpaan ini telah menghasilkan satu persetujuan yang menetapkan kawasan-kawasan tanah dan wang sagu hati kepada Raja Bot akibat pemasukan Lukut ke dalam perintah Sungai Ujung itu. Mengikut persetujuan itu Raja Bot dan keluarganya menerima wang sejumlah 27 ribu ringgit. Semenjak itu tamatlah pemerintahan Raja Bot dan ayahandanya Raja Jumaat yang menguasai Lukut selama 32 tahun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen