H.I.D.S. – Perjanjian Sempadan Perairan Selat Melaka

selat melaka21 Disember 1971 – Pada hari ini dalam tahun 1971, satu perjanjian mengenai perairan Sempadan Selat Melaka telah ditandatangani di antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Kuala Lumpur. Malaysia telah diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, sementara Indonesia diwakili oleh Menteri Galiannya Professor Dr. Sumatri Brodjonegoro dan Thailand pula oleh Setiausaha Rendah Negeri bagi Pembangunan Negara di Kementerian Pembangunan Negara Thailand, Encik Vijaya Sethapat.

Perjanjian ini menetapkan garis batas laut di perairan Selat Melaka untuk ketiga-ketiga buah negara. Ianya terhasil daripada rundingan yang diadakan di Bangkok bermula pada bulan Oktober.

Berikutan daripada termeterainya perjanjian ini, usaha untuk meneroka sumber kekayaan di kawasan yang melampaui sempadan negara masing-masing bagi faedah bersama dapat dilaksanakan. Justeru itu sebarang pertikaian mengenai dasar laut dan lapisan bumi di bawahnya yang mengandungi sumber kekayaan yang belum lagi diterokai dapat dihapuskan.

Sesungguhnya, perjanjian ini merupakan sumbangan positif ke arah keamanan dan kestabilan rantau ini. Secara tidak langsung, ia merupakan langkah tegas ke arah merapatkan kerjasama dalam usaha mencari kekayaan dasar laut untuk kemakmuran bersama ketiga-tiga buah negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen