H. I. D. S. – Perjanjian Riau-Syarikat Hindia Timur Belanda

07 Februari 1787 – Pada hari ini dalam tahun 1787, Sultan Mahmud III yang memerintah kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Belanda di Melaka. Perjanjian yang ditandatangani itu merupakan perjanjian yang kedua setelah Riau dikalahkan oleh Belanda, di dalam peperangan bulan November 1784.

Peperangan yang berlaku di Riau berpunca daripada permusuhan di antara orang-orang Bugis yang diketuai oleh Yam Tuan Muda Riau, Raja Haji dengan pihak Belanda di Melaka. Malangnya dalam peperangan pada Jun 1784, Raja Haji telah mangkat terbunuh di Teluk Ketapang.

Antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah:

  • Sultan Mahmud hendaklah menyerahkan segala pentadbiran di Riau kepada Kompeni Belanda
  • Orang-orang bangsa asing yang telah dijatuhkan hukuman salah kerana melakukan kesalahan besar, hendaklah dihantar di Melaka. Hanya perkelahian di antara orang-orang Melayu dengan Bugis rakyat baginda sahaja yang boleh diselesaikan dengan keputusan perintah Sultan.
  • Pemerintah di Negeri Pahang hendaklah mengakui bahwa tongkang-tongkang Cina atau lain-lain tongkang tidak dibenarkan masuk ke Pahang dan pemerintah Pahang hendaklah mengarahkan tongkang-tongkang itu datang ke tempat membayar cukai di Riau.

Dengan menandatangani perjanjian itu, pihak Belanda telah menguatkan lagi pertahanan serta monopoli perdagangan dan berjaya menjadikan Riau sebagai sebuah jajahan Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen