H. I. D. S. – Perjanjian Raffles – Sultan Hussain Dan Temenggong Abd. Rahman

07 Jun 1823 – Pada hari ini dalam tahun 1823, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Stamford Raffles, Temenggong Abdul Rahman dan Sultan Hussain (Sultan Singapura) yang diangkat oleh Inggeris. Perjanjian tersebut ditandatangani setelah Inggeris yang mencari bandar pelabuhan di Selatan Tanah Melayu untuk kepentingan perdagangannya, mendarat di Pulau Singapura dan menawarkan perlindungan kepada Temenggong pada 30 Januari 1819 sebagai balasan untuk mendirikan loji di pulau itu.

Temenggong terpaksa menerima tawaran Inggeris, kerana bimbang diserang apabila mendapati Inggeris mendarat dengan segala kelengkapan perang. Raffles juga bertindak mengangkat Tengku Long dari Riau menjadi Sultan Singapura, bergelar Sultan Hussain dan mengadakan persetujuan tanpa pengetahuan Sultan Abdul Rahman di Lingga yang memegang tampuk pemerintahan Johor – Riau ketika itu.Perjanjian dan perlantikan Sultan Hussain ini telah menimbulkan kemarahan Sultan Johor – Riau dan juga Belanda. Ia dianggap tidak sah dan Inggeris dituduh menceroboh.

Perjanjian itu telah ditandatangani bagi tujuan mendapatkan kebebasan penuh di Pulau Singapura. Antara syarat-syarat perjanjian itu ialah:

  • Sultan menerima bayaran sebanyak satu ribu lima ratus ringgit setiap bulan dan Temenggong pula menerima lapan ratus ringgit setiap bulan;
  • Sultan dan Temenggong tidak berhak menerima atau mengutip cukai dari tongkang-tongkang Cina yang keluar masuk pelabuhan;
  • Inggeris berkuasa di seluruh Pulau Singapura dan pulau-pulau berdekatan kecuali kawasan atau pulau tempat kediaman Sultan dan Temenggong;
  • Sultan hanya boleh menghakimkan hukum-hukum agama dan adat; – Inggeris tidak akan campur tangan dalam urusan pemerintahan Sultan dalam jajahan takluknya;
  • Inggeris diberi kuasa memonopoli perusahaan kayu balak.

Perjanjian dirancang oleh Inggeris bagi mengukuhkan lagi kedudukannya di Singapura di samping menghadapi pengaruh Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen