Perjanjian Persahabatan Rembau – Belanda

05 Jun 1819 – Pada hari ini dalam tahun 1819 satu perjanjian persahabatan dan pengiktirafan telah ditandatangani di Naning di antara Kerajaan Belanda dan Rembau. Rembau telah diwakili oleh Raja Ali, Penghulu Dato’ Maharaja Lela dan Empat Suku yang terdiri dari Dato’ Gempa Maharaja, Dato’ Marabangsa, Dato’ Sangsoera Pahlawan dan Dato’ Bangsa di Balang. Kerajaan Negeri Belanda pula diwakili oleh Gabenor Belanda di Melaka iaitu J. S. Timmermann Thyssen.

Perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini ialah:

ARTIKEL PERTAMA-Kerajaan Belanda mengiktiraf Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku sebagai pentadbir Kerajaan Rembau.

ARTIKEL KEDUA- Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku mengiktiraf Kerajaan Belanda sebagai pelindung serta bersumpah dan berjanji akan sentiasa taat setia dan tidak akan menentang Kerajaan Belanda dan menganggap bahawa sahabat-sahabat Belanda adalah sahabat-sahabat mereka dan usuh Belanda sebagai musuh Rembau juga, dan oleh itu berjanji akan memberi bantuan tenaga atau senjata jika diperlukan oleh pemerintah Belanda di Melaka.

ARTIKEL KETIGA-Kerajaan Belanda mengaku untuk mengekalkan dan menyokong Raja Ali, Penghulu, hak-hak mereka dan waris-waris mereka kecuali mengenai adat istiadat Negeri Rembau yang dibenarkan berlaku sepenuhnya, tetapi jika Raja Ali atau Penghulu meninggal dunia, waris yang dipilih menggantikannya tidak boleh bertindak atau diakui tindakannya itu oleh sesiapa pun kecuali ianya telah dipersetujui oleh pemerintah Belanda di Melaka.

ARTIKEL KEEMPAT-Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku tidak akan memberi perlindungan kepada orang-orang yang terlibat dalam penjualan hamba abdi atau yang telah melakukan jenayah tetapi sebaliknya mestilah menyerahkan mereka kepada Gabenor Belanda di Melaka supaya dibicarakan mengikut kesalahan mereka.

ARTIKEL KELIMA-Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku mestilah menyerahkan hamba-hamba yang telah lari dan berselindung di Rembau semenjak 21hb September. 1818 iaitu tarikh bermulanya pemerintahan Belanda di Melaka, dan demikian itu bagi tiap-tiap seorang hamba yang diserahkan semula akan dibayar 14 Dollar Sepanyol yang mana 7 dollar akan dibahagi-bahagikan kepada Penghulu dan Empat Suku, dan 7 dollar lagi akan diberikan sebagai hadiah kepada sesiapa saja yang telah menyerahkan hamba tersebut.

ARTIKEL KEENAM-Di atas permintaan Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku, Gabenor Melaka akan mengeluarkan arahan-arahan untuk menahan orang-orang seperti itu yang melarikan diri dari Rembau dan menyembunyikan diri dalam kawasan kekuasaan Melaka, dan menyerahkan mereka kepada Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku. Peraturan yang sama hendaklah diikuti berhubung dengan hamba-hamba yang lari dari Rembau ke Melaka di mana bayaran sebanyak 14 dollar Sepanyol hendaklah dibayar oleh yang empunya hamba.

ARTIKEL KETUJUH- Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku akan menyerahkan kepada kerajaan Belanda semua bijih timah yang dipungut oleh mereka atau rakyat mereka dari Linggi, Sungai Ujong, Rembau dan jajahan takluk mereka; Kerajaan Belanda akan membayar 40 dollar (Sepanyol) bagi setiap satu bahara yang seberat 300 kati atau 375 paun Belanda bagi berat yang sama. Walau bagaimanapun Kerajaan Belanda mempunyai kuasa merampas bijih timah yang diseludup, atau yang menyalahi Perjanjian 1759.

ARTIKEL KELAPAN-Raja Ali, Penghulu dan Empat Suku tidak akan membantu atau melindungi lanun-lanun tetapi sebaliknya membantu dengan segala kuasa yang ada pada mereka untuk memajukan perdagangan di Selat Melaka dan mereka akan bertanggungjawab terhadap kegiatan perompakan di laut yang dilakukan oleh rakyat mereka.

ARTIKEL KESEMBILAN-Jika diketahui ada orang-orang yang membuat persiapah untuk bermusuhan mereka hendaklah menghalangnya daripada berlaku dan memberitahukan hal itu ke pengetahuan Gabenor Melaka.

ARTIKEL KESEPULUH-Setiap kapal tanpa mengecualikan tuanpunya sama ada yang datang dari Timur atau Barat, yang melalui Melaka akan dirampas jika tidak membayar cukai pelabuhan. Semua kapal yang dipunyai oleh Rembau jika bertembung dengan kapal-kapal kerajaan asing yang memberi tembakan isyarat kepada mereka, mestilah memberikan lambaian isyarat dan menunjukkan pas kebenaran supaya dibenarkan Ialu dan tidak disyaki sebagai lanun.

Perjanjian ini adalah untuk memperbaharui Perjanjian 1759 yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Tertinggi Belanda di India dengan Daing Kemboja (Dain Cambodia) bersama-sama Penghulu dan Empat Suku yang dahulu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen