H.I.D.S – Perjanjian Persahabatan E.I.C-Johor

Sir_Thomas_Stamford_Raffles02 Ogos 1824 – Pada hari ini dalam tahun 1824 satu perjanjian telah ditandatangani di antara John Crawfurd, Residen Inggeris di Singapura bagi pihak Kompeni Hindia Timur Inggeris dengan Sultan Hussain Shah dan Temenggung Abdul Rahman. Perjanjian ini dibuat di Singapura dan telah disahkan oleh Gabenor Jeneral Inggeris di Fort William, India pada 19hb. November tahun 1824.

Mengikut perjanjian yang mengandungi 14 perkara ini, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman bersetuju menyerahkan Pulau Singapura serta pulau-pulau dalam lingkungan sepuluh batu dari pantainya kepada pihak Inggeris. Sebagai gantinya Sultan menerima wang hadiah sebanyak 33,200 Ringgit Sepanyol dan gaji bulanan sebanyak 1,300 ringgit, selama hayat baginda. Temenggung pula menerima wang hadiah sebanyak 26,800 ringgit dan gaji bulanan sebanyak 700 ringgit selagi ada hayatnya. Selain dari itu, jika Sultan Hussain dan Temenggung mahu pindah keluar dari Singapura, Kompeni Inggeris akan membayar 20,000 ringgit dan kepada Temenggung atau penggantinya sebanyak 5,000 ringgit. Perjanjian ini juga telah membatalkan persetiaan-persetiaan dan persetujuan-persetujuan yang telah pernah dibuat di antara Kompeni Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggung. Akibat dari perjanjian ini Sultan Hussain telah kehilangan kuasa dan kedaulatannya ke atas Singapura.

Perjanjian yang menjadikan Singapura hak milik Inggeris ini adalah lanjutan daripada usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Thomas Stamford Raffles pada awal tahun 1819 bagi menjamin kepentingan Inggeris. Dengan tujuan untuk memperkudakan keadaan politik kerajaan Johor masa itu, terutama sekali mengenai kedudukan kesultanannya yang sedang dipertikaikan, Raffles telah mengangkat Tengku Long menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Hussain Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Mahmud, Sultan Johor dalam satu istiadat di Padang Singapura pada 6hb. Februari 1819. Pada hari itu juga Raffles, bagi pihak Kompeni Inggeris telah membuat perjanjian dengan Sultan Hussain dan Temenggung. Peristiwa ini telah mengubah perjalanan sejarah Kerajaan Johor yang dahulunya meliputi Johor, Riau, Lingga, Singapura, Pahang dan pulau-pulau disekitarnya. Bendahara Tun Ali di Pahang mensifatkan perbuatan orang-orang Inggeris di Singapura itu sebagai “suatu perbuatan yang telah menceraikan orang adek-beradek, anak beranak dan sahabat handai…….

Pada tahun 1823 satu lagi perjanjian telah dibuat oleh Raffles dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman yang menjadikan kuasa Inggeris di Singapura lebih kukuh daripada tahun 1819, tetapi kekuasaan dan hak-hak Inggeris di pulau itu masih dalam keadaan yang kurang baik. Apabila John Crawfurd menjadi Residen Singapura beliau telah mencadangkan pula supaya Singapura diambil langsung oleh Kompeni Inggeris dari tangan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman. Secara kebetulan pula perjanjian Inggeris- Belanda pada 17hb. Mac, 1824 telah memisahkan politik kenegaraan rumpun bangsa Melayu, maka Residen Crawfurd pun berusaha menjadikan Singapura hak milik Inggeris.

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1824 satu perjanjian di antara John Crawfurd dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman telah ditandatangani. Dengan itu Singapura telah diambil langsung oleh Inggeris daripada raja-raja Melayu yang telah turun temurun mempunyai hak kuasa pertuanan di pulau itu, bukan dengan perang, melainkan dengan kepandaian tipu daya menggunakan wang ringgit pada ketika orang-orang yang diperdayakan itu benar-benar dalam kesempitan dan hendak menjaga taraf kedudukan mereka pula sebagai raja dalam negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen