Teluk Baru Langkawi
Sejarah

Perjanjian Persahabatan Syarikat Hindia Timur Inggeris Dengan Kedah 1971

01 Mei 1791 – Pada tahun 1791, satu perjanjian persahabatan dan keamanan telah ditandatangani di antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Kedah. Perjanjian ini adalah perjanjian kedua di antara pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Sultan Kedah.

Perjanjian persahabatan Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Kedah ini ditandatangani setelah timbulnya hubungan diplomatik yang tegang antara Kedah dan Inggeris selepas perjanjian Inggeris Kedah dalam tahun 1786 dan pendudukan Inggeris.

Ketegangan ini bermula apabila pihak Francis Light melanggar syarat-syarat perjanjian tahun 1786, dengan tidak membuat bayaran tahunan kepada Kedah seperti mana yang telah dipersetujui. Pihak Francis Light juga enggan memulangkan kembali Tunku Petrie yang menderhaka kepada Sultan dan melarikan diri ke Pulau Pinang. Kapten Light juga enggan untuk melawat Sultan Kedah. Disamping itu pada 12 April 1787, pula pihak Light telah menyerang Kota Perai dengan mengejut.

Ini telah menyebabkan Sultan Kedah amat murka dan terpaksa menilai semula kedudukan hubungannya dengan Inggeris. Sultan Kedah kemudiannya telah menghantar utusannya Tunku Raden Muhamad, Tunku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Talibon untuk merundingkan penyelesaian hubungan dengan pihak Syarikat Hindia Timur.

Rundingan kedua pihak akhirnya bersetuju dengan syarat-syarat perjanjian yang termaktub sebanyak 9 Fasal:

  • Syarat I – Syarikat Hindia Timur Inggeris membayar sebanyak 6 ribu ringgit Sepanyol tiap-tiap tahun, kepada Sultan Kedah selagi pihak Inggeris diberikan kuasa untuk menduduki Pulau Pinang.
  • Syarat II – Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Negeri Kedah bersetuju supaya permintaan yang berkaitan dengan Pulau Pinang sama ada kapal-kapal perang dan kapal-kapal Syarikat Hindia Timur yang akan dibeli di Kedah tidak dikenakan sebarang cukai.
  • Syarat III – Semua hamba-hamba abdi yang melarikan diri dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah hendaklah dipulangkan kembali.
  • Syarat IV – Semua orang-orang yang berhutang dan melarikan diri dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah, dan sekiranya mereka enggan membayar hutang tersebut, mereka hendaklah dikembalikan semula kepada orang yang memberikan hutang.
  • Syarat V – Sultan Kedah bersetuju untuk tidak membenarkan bangsa-bangsa Eropah yang lain selain dari bangsa Inggeris untuk menetap di mana-mana juga bahagian di dalam negerinya.
  • Syarat VI – Pihak Syarikat Hindia Timur pula bersetuju tidak akan memberikan perlindungan kepada sesiapa juga yang terlibat dengan jenayah atau memberontak menentang Sultan Kedah.
  • Syarat VII – Semua orang yang terlibat dengan pembunuhan dan melarikan diri dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah akan ditahan dan dikembalikan sebagai orang tangkapan.
  • Syarat VIII – Sesiapa juga yang mencuri cop mohor akan dikembalikan kepada kedua-dua belah pihak.
  • Syarat IX – Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa orang-orang yang memusuhi Syarikat Hindia Timur dan Sultan Kedah tidak akan diberikan sebarang bantuan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard