H.I.D.S – Perjanjian Perdagangan Sultan Kedah-Syarikat Hindia Timur Belanda

VOC Amsterdam
VOC Amsterdam

11 Julai 1642 – Pada hari ini dalam tahun 1642, satu perjanjian perdagangan telah ditandatangani Sultan Muhammad Shah (Sultan Kedah) dengan Syarikat Hindia Timur Belanda. Perjanjian perdagangan itu dibuat bagi memperbaharui perjanjian lama yang bertarikh 6 Julai 1641, yang telah dipersetujui oleh Sultan Sulaiman Shah (ayahanda Sultan Rijaluddin) dengan pihak Belanda. Kerajaan Kedah menandatangani perjanjian itu bertujuan untuk menjalin hubungan politik dengan Belanda dan bagi mengurangkan tekanan daripada Kerajaan Siam, Acheh dan Portugis. Di samping itu ia diharap dapat mengukuhkan kedudukan baginda dalam menghadapi ancaman dari dalam dan luar negeri. Sementara itu, bagi pihak Belanda, perjanjian tersebut telah memberi peluang kepadanya untuk menguasai perdagangan di Kedah, terutama dalam memonopoli perdagangan timah. Selain itu pihak Belanda berharap dengan perjanjian ini, ia dapat mengalihkan perdagangan di sepanjang pantai Tanah Melayu dan kepulauan Melayu ke Melaka.

Butir-butir perjanjian ini antara lain menyebut:

  • Separuh dari keluaran bijih timah Kedah dijualkan kepada Belanda dengan harga tetap.
  • Saudagar-saudagar Kedah tidak dibenarkan berniaga dengan saudagar Sepanyol atau lain-lain saudagar asing yang tidak biasa berniaga di Kedah.
  • Sultan tidak boleh mengarahkan boleh mengeksport timah dengan menggunakan kapalnya sendiri kecuali setelah diketahui oleh Belanda mengenai segala butir muatan.

Walaupun perjanjian itu lebih banyak menguntungkan pihak Belanda tetapi Sultan Rijaluddin masih bersetuju menerimanya kerana baginda sedar Belanda tidak dapat mengawal Kedah dengan sepenuhnya. Di samping itu perjanjian tersebut telah meningkatkan perdagangan timah antara Kedah dan saudagar-saudagar India, Sumatera, Jawa dan sebagainya, kerana kedudukan Kedah yang kukuh dan adanya jaminan keselamatan oleh pihak Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen