H.I.D.S. – Perjanjian Penyerahan Kuasa Ke Atas Teluk Belanga Kepada Temenggung Abu Bakar, Johor

Temenggong-Abu-Bakar19 Disember 1862 – Pada hari ini dalam tahun 1862, satu perjanjian penyerahan kuasa ke atas Teluk Belanga oleh Kerajaan Inggeris kepada Temenggung Abu Bakar, Johor telah berlangsung di Singapura. Perjanjian ini harus dibuat berikutan dengan persetujuan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Blundell bagi pihak Kerajaan Inggeris untuk menyerahkan kawasan tanah di Teluk Belanga kepada Temenggung Abu Bakar. Kawasan itu menjadi hak milik baginda turun temurun.

Kawasan tanah di Teluk Belanga dikuasai Inggeris berikutan dengan perjanjian diantara Residen Inggeris di Singapura, J.Crawford dengan Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman pada 2hb Ogos 1824. Mengikut perjanjian tersebut, Pulau Singapura dan pulau-pulau yang berhampiran diserahkan kepada pihak Inggeris. Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman tidak lagi mempunyai kuasa keatas Pulau Singapura. Wang saguhati sebanyak $15000 dibayar oleh Kerajaan Inggeris kepada Temenggung Abdul Rahman apabila kawasan tanah di Teluk Belanga diserahkan kepada Inggeris.

Semasa Johor di bawah pemerintahan Temenggung Ibrahim, baginda telah berusaha untuk menguasai semula Teluk Belanga. Temenggung Ibrahim berpendapat bahawa dalam masa 30 tahun akan datang, nilai tanah di Teluk Belanga akan berlipat ganda. Menyedari keadaan tersebut, dalam tahun 1857, Temenggung Ibrahim telah membantah usaha membuka sebuah pangkalan arang batu berhampiran dengan Teluk Belanga. Bantahan baginda itu tidak dihiraukan oleh pihak Inggeris.

Semasa pemerintahan Temenggung Abu Bakar, baginda telah berusaha memajukan negeri Johor. Baginda telah membuat banyak perubahan di dalam sistem pemerintahan, menggalakkan perdagangan di Tanjung Puteri dan mengukuhkan hubungan persahabatan dengan negeri Pahang. Cara pemerintahan Temengung Abu Bakar amat disenangi oleh pihak Inggeris. Hubungan baginda dengan Pihak Inggeris dan pembesar-pembesar negeri berjalan dengan baik dan lancar.

Apabila baginda menyuarakan hasrat supaya Teluk Belanga dijadikan hak milik baginda, pihak Inggeris telah memberi persetujuan. Hasil daripada persetujuan tersebut, satu perjanjian telah ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1862 di mana teluk Belanga diserahkan semula kepada Kerajaan Johor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen