Perjanjian Mengubah Majlis Perundangan Negeri-Negeri Melayu

sir_laurence_guillemard24 April 1927 – Pada hari ini dalam tahun 1927, telah berlangsung Perjanjian Mengubah Majlis Perundangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di King’s House (Istana Tetamu) Kuala Lumpur. Perubahan ini telah dibincangkan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat Sir Lawrence Guillemard sejak dari tahun 1925 lagi.

Beliau telah mengumumkan satu rancangan pembaharuan perlembagaan dan pentadbiran yang meluas dan secara beransur-ansur menghapuskan jawatan Ketua Setiausaha. Dengan ini kuasa Ketua Setiausaha akan diserahkan kepada Residen-Residen dan Majlis-Majlis Undangan Negeri dan menarik keluar raja-raja dari Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Dengan demikian, Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah diperbaharui semula dengan memasukkan ke dalamnya anggota-anggota Melayu yang tidak rasmi menggantikan Raja-Raja Melayu di samping menyerahkan kuasakuasa kecil kepada Majlis Undangan Negeri.

Sebelum ini, terdapat lapan anggota tidak rasmi Majlis iaitu 5 wakil Eropah, 2 wakil China dan seorang wakil Melayu. Kemudiannya Guillemard menambahkan lagi anggota rasmi kepada 13 orang dan anggota tidak rasmi kepada 11 orang. Ketua-ketua jabatan diberikan kerusi dalam majlis tersebut. Tetapi keanggotaan Sultan ditarik dalam majlis itu dan dimasukkan pula 4 orang wakil baru daripada orang Melayu Empat orang anggota Melayu dalam Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ialah Raja Chulan, Raja di Hilir Perak, Tengku Musa’eddin Raja Muda kepada Sultan Sulaiman Selangor; Dato’ Abdullah bin Haji Dahan, Undang Rembau; dan Tengku Sulaiman, Tengku Besar kepada Sultan Abdullah Pahang.

Walaupun kesemua mereka datang daripada golongan aristokrasi dan dua orang daripadanya bakal raja-raja di negeri masing-masing tetapi mereka merupakan jurucakap rasmi kepada pendapat umum Melayu. Ini terbukti dalam bentuk perhatian yang diberikan oleh Raja Chulan dan Dato’ Abdullah kepada soal-soal pelajaran Melayu dan peluang anak-anak Melayu bekerja dengan pemerintah.

Di samping itu perubahan Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ada kaitannya dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada penghujung 1920-an dan 1930-an di mana telah membabitkan kepentingan orang Melayu seperti soal perombakan semula pemusatan kuasa, zaman meleset dan tuntutan orang Tionghua yang berkehendakkan peranan yang lebih besar bagi mereka dalam urusan-urusan pentadbiran dan pemerintahan.

Sesungguhnya perjanjian mengubah Majlis Undangan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada hari ini dalam tahun 1927, kurang memberi kesan kepada pengembalian kuasa Raja-Raja Melayu dan orang Melayu. Kerajaan British tetap berkuasa dalam Majlis Undangan Negeri Melayu Bersekutu walaupun jumlah ahli tidak rasminya yang terdiri daripada orang Melayu bertambah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen