H. I. D. S. – Perjanjian Mendapatkan Tanah Untuk Pembinaan Jalan Keretapi Dari Taiping Ke Prai

29 Mac 1898 – Pada hari ini dalam tahun 1898, satu perjanjian ditandatangani oleh Residen General negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Gabenor Negeri-negeri Selat berkenaan dengan pembelian tanah untuk membina jalan keretapi. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membeli tanah di Seberang Prai untuk menyambung jalan keretapi dari Taiping ke Prai, di Seberang Prai.

Jalan keretapi ini dicadangkan dibina dalam masa lima tahun daripada tarikh perjanjian itu dan kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjanji tidak akan menggunakan tanah itu selain daripada tujuan tersebut.

Jalan keretapi yang pertama telah dibina 13 tahun dahulu, iaitu dalam tahun 1885 dari Taiping ke Port Weld. Semenjak itu beberapa jalan keretapi lagi telah dibina kerana cara perjalanan ini sangat sesuai dan mudah, terutama bagi mengangkut bahan-bahan untuk dipasarkan. Bahan-bahan itu termasuk bijih timah yang digali di negeri Perak dan Selangor, dan dihantar melalui keretapi ke pelabuhan-pelabuhan Pulau Pinang dan Singapura ke pasaran-pasaran di Eropah.

Dengan pembinaan jalan keretapi itu perhubungan dan juga kegiatan ekonomi di antara negeri-negeri di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian Pantai Barat semakin bertambah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen