H. I. D. S. – Perjanjian Kerjasama Lalu Lintas Antara Siam Dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

ktm_padang_besar26 Mac 1919 – Pada hari ini dalam tahun 1919, Perjanjian Kerjasama Lalulintas antara Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Kerajaan Siam telah ditandatangani. Pihak Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah diwakili oleh Ketua Setiausaha Kerajaan, Edward Lewis Brockman dan Kerajaan Siam pula diwakili oleh Menteri Perhubungannya, Chao Phya Wongsa Nuprabath.

Perjanjian ini adalah untuk mewujudkan kerjasama di antara Jabatan Keretapi Siam dan Jabatan Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam perkara-perkara seperti:-

  • Perjanjian lalulintas dan guna sama, bagi kedua-dua buah perhentian di sempadan kedua- negara;
  • Laluan gerabak-gerabak keretapi dan kelengkapan-kelengkapannya dari dan ke perhentian keretapi kedua-dua negara dan sebaliknya;
  • Bayaran bagi menyewa gerabak-gerabak keretapi;
  • Perjalanan terus penumpang-penumpang, bungkusan, binatang-binatang ternakan dan lain-lain jenis barang yang dibawa;
  • Kadar pembahagian yang sama bagi tambang pengangkutan;
  • Bayaran ganti rugi bersabit dengan perjalanan terus;
  • Lain-lain perkara yang difikirkan perlu untuk dimasukkan, dengan tujuan untuk menentukan kelicinan dan penjimatan kerja di antara keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Keretapi Siam.

Perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini dimaktubkan dalam 7 fasal.

Sesungguhnya perjanjian ini memberi erti yang besar terhadap sejarah perkembangan perhubungan keretapi di tanah air, di samping merapatkan perhubungan persahabatan di antara kedua-dua negara. Seterusnya perkhidmatan keretapi Tanah Melayu telah dapat mengadakan perjalanan terus ke sempadan Siam melalui perhentian-perhentian Padang Besar dan Pasir Mas.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen