H. I. D. S. – Perjanjian Kereta Nasional Kedua Dimeterai

02 Februari 1993 – Pada hari ini dalam tahun 1993, satu perjanjian usahasama untuk kereta nasional kedua telah dimeterai oleh 6 buah syarikat, iaitu UMW Corporation Sdn. Bhd., Med-Bumikar Mara Sdn. Bhd., Daihatsu Motor Co. Ltd. Jepun, Mitsui & Co. Ltd Jepun dan Daihatsu Malaysia Sdn. Bhd.

Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anuar Ibrahim yang turut serta menyaksikan upacara menandatangani perjanjian usahasama tersebut berharap harga yang akan ditawarkan adalah rendah dan mampu untuk dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Kereta Nasional kedua dijadualkan memulakan pengeluaran komersialnya pada bulan Julai 1994. Buat permulaan, kereta nasional kedua akan dikeluarkan dengan kuasa 660 c.c. yang rekabentuknya mirip Daihatsu Mira Jepun. Dengan terlancarnya projek kereta nasional kedua, dijangka akan dapat menyediakan di antara 400 hingga 600 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sesungguhnya perjanjian usahasama itu, melambangkan hubungan baik yang berterusan antara Malaysia dan Jepun. Di samping itu projek Kereta Nasional kedua juga diharap akan menjadi landasan yang kukuh untuk pemindahan teknologi Jepun ke negara ini sekaligus memanfaatkan industri automatif tempatan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen