Seri_Menanti_palace
Sejarah

Perjanjian Kemerdekaan Rembau

28 Januari 1832 – Pada tahun 1832, satu perjanjian persahabatan mengenai kemerdekaan Rembau ditandatangani di antara Penghulu Rembau iaitu Raja Ali dan lapan orang Suku bagi pihak Rembau dan Robert Ibbetson bagi pihak Inggeris iaitu merupakan Residen bagi Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Dengan perjanjian ini Kerajaan Inggeris membatalkan dan memansuhkan semua perjanjian dan persetujuan yang terdahulu yang dibuat di antara Rembau, Kerajaan Belanda dan Kerajaan Inggeris yang ada sekarang.

Antara butiran perjanjian tersebut adalah :-

  • Kerajaan Inggeris mengakui Raja Ali dan lapan orang Suku sebagai pemerintah Rembau dan jajahan takluknya.
  • Kerajaan Inggeris dan Rembau akan mengekalkan persahabatan yang berpanjangan dan menahan dari melakukan sebarang tindakan permusuhan.
  • Jika berlaku sebarang angkara ke atas rakyat Rembau oleh rakyat Inggeris di kawasan pihak Inggeris, pihak Rembau tidak boleh melakukan sebarang tindakan tetapi hendaklah merujukkan angkara itu kepada kerajaan Inggeris untuk disiasat, dan jika sabit kesalahan di atas rakyat Inggeris, ia akan dihukum mengikut Undang-undang Inggeris, demikian juga sebaliknya.
Robert_Ibbetson_1789-1850

Robert Ibbetson

Dengan termaktubnya perjanjian kemerdekaan Rembau, pada hari ini dalam tahun 1832, Rembau diiktiraf oleh Inggeris sebagai sebuah negeri yang merdeka. Ini dapat dimengertikan dari pemansuhan perjanjian-perjanjian yang terdahulu yang mengikut dan memaksa Rembau menurut segala kemahuan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard