jata_johor-800px
Sejarah

Perjanjian Johor Dengan Belanda 1606

17 Mei 1606 – Pada tahun 1606, satu perjanjian persahabatan di antara Negeri Johor dengan Belanda (V.0.C.) ditandatangani. Perjanjian ini ditandatangani oleh Raja Abdullah yang juga bergelar Raja Bongsu atau Raja Seberang bagi pihak Sultan Johor sementara Belanda diwakili oleh Admiral Cornelis Matelief de Jong, di atas sebuah kapal perang Belanda, Oranje.

Tujuan utama Belanda membuat perjanjian ini ialah untuk mendapatkan sokongan dan bantuan Johor dalam usahanya menyerang dan mengambil Melaka dari Portugis. Sementara itu Johor yang pada ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III sedang bermusuhan dengan Portugis di Melaka dan bercita-cita untuk merebut kembali bekas pusat pemerintahan kerajaan Melayu Melaka itu.

Di antara syarat-syarat perjanjian itu ialah Matelief bersetuju menyokong dan membantu Sultan Johor untuk menawan semula Melaka dari tangan Portugis. Bagaimanapun, syarat-syarat itu berat sebelah oleh kerana jika rancangan itu berjaya Melaka hendaklah diserahkan kepada Belanda manakala Johor hanya menerima wilayah-wilayah yang disekitarnya.

Orang-orang Belanda juga berhak mengambil kayu-kayan dan hasil-hasil hutan yang lainnya dari wilayah-wilayah tersebut di untuk pertahanan dan perkapalan. Sultan hendaklah menyerahkan hak monopoli perdagangan kepada Belanda, dan barang-barang dagangan Belanda hendaklah dikecualikan daripada cukai. Masing-masing pihak juga bersetuju tidak akan membantu atau membuat perjanjian damai dengan Sepanyol tanpa persetujuan salah satu pihak.

Perjanjian ini merupakan perjanjian yang pertama kali ditandatangani oleh Belanda dengan sesebuah negeri Melayu dan Johor adalah merupakan negeri yang pertama menghormati atau mengakui Belanda (V. O. C.) sejak mereka bertapak di rantau sebelah Timur sedangkan pada ketika itu Belanda masih belum punya tempat di mana-mana di Indonesia. (India).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard