lambang_kedah-800px
Sejarah

Perjanjian Inggeris-Siam 1869 (Hubungan Inggeris-Kedah)

06 Mei 1869 – Pada tahun 1869 satu perjanjian Inggeris-Siam mengenai kedudukan hubungan Inggeris-Kedah telah ditandatangani oleh Konsul Jeneral British di Siam, Thomas George Knox Esq., bagi pihak kerajaan British dengan Perdana Menteri Siam, Chao Phya Sri Suriwongsa Phra Kalahome, Perdana Menteri Siam bagi pihak Raja Siam.

Antara lain perjanjian ini memperuntukkan bahawa:

  • Gabenor Negeri-negeri Selat hendaklah membayar RM 10,000 setahun kepada Yang Di-pertuan Negeri Kedah selagi kerajaan British masih memiliki Pulau Pinang dan kawasan-kawasan yang bersetentangan dengannya di tanah besar;
  • Yang Di-pertuan Negeri Kedah hendaklah mengakui sebagai wilayah British kawasan-kawasan di tanah besar yang bersetentangan dengan Pulau Pinang dan bersempadankan laut di sebelah barat, bersempadankan tebing kanan Sungai Muda di sebelah utara, tebing kanan Sungai Kerian di sebelah selatan, dan daripada tebing kanan Sungai Muda hingga ke timur Bukit Mertajam serta daripada tebing kanan Sungai Krian hingga ke timur Bukit Tunggal bagi sempadan di sebelah timur;
  • Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Yang Di-pertuan Negeri Kedah bersetuju untuk mendirikan batu-batu sempadan dalam jarak satu batu tiap-tiap satu untuk menandakan sempadan sebelah timur wilayah yang diserahkan itu;
  • Kedua-dua belah pihak (Gabenor Negeri-negeri Selat dan Yang Di-pertuan Negeri Kedah) hendaklah saling menyerahkan pesalah-pesalah yang terhukum, ataupun yang masih menunggu perbicaraan ataupun yang diperintah tangkap yang cuba bersembunyi di kawasan mana-mana pihak yang berkenaan;
  • Yang Di-pertuan Negeri Kedah hendaklah jangan mengenakan cukai yang lebih tinggi daripada kadar yang ada ke atas binatang-binatang ternakan, bijian-bijian dan lain-lain barangan yang dieksport ke Wilayah British, melainkan jika berlaku kemarau tetapi dengan memberi tiga bulan notis lebih dahulu kepada kerajaan British di Pulau Pinang.

Dengan perjanjian ini maka mansuhlah perjanjian-perjanjian yang terdahulu yang bertarikh 1786, 1791, 1802, 1831 dan 21 Mac 1868.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard