H.I.D.S. – Perjanjian Inggeris-Rembau

30 November 1831 – Pada hari ini dalam tahun 1831, satu perjanjian Persahabatan dan Kerjasama telah dipersetujui di antara Kerajaan Inggeris dengan Penghulu Raja Ali dan Empat Suku yang memerintah Rembau dan Jajahan Takluknya. Kerajaan Inggeris telah diwakili oleh Robert Ibbetson, Residen Singapura, Pulau Pinang, Melaka dan Jajahan Takluknya. Perjanjian ini melibatkan soal-soal kawasan penempatan, perniagaan dan pengiktirafan Inggeris terhadap Rembau sebagai sebuah negeri yang merdeka.
Di antara kandungan perjanjian Inggeris – Rembau ini:-

i. Kerajaan Inggeris mengakui bahawa Penghulu Raja Ali dan Empat Suku sebagai Ketua Pemerintah Rembau dan Jajahan Takluknya. Orang-orang Inggeris dan Orang-orang Rembau menjalinkan persahabatan dengan ikhlas dan jujur dan kedua-dua pihak tidak akan menimbulkan sebarang permusuhan di antara satu sama lain.

ii. Jika sesuatu pihak mempertikaikan sesuatu kawasan yang terletak di sempadan bersama, Ketua Pemerintah salah satu pihak hendaklah menghantar surat dan pegawai masing-masing menemui salah seorang Ketua Pemerintah daerah berkenaan untuk menyelesaikan masalah sempadan itu dengan cara persahabatan.

iii. Kedua-dua pihak bersetuju tidak boleh memasuki untuk mengejar, menangkap dan membawa balik rakyat yang lari dari daerah masing-masing ke dalam daerah salah satu pihak tetapi hendaklah melapor dan minta pulangkan orang itu dengan cara yang baik. Pihak pemerintah yang menangkap orang yang lari itu bebas memutuskan sama ada hendak memulangkan atau tidak.

iv. Dari segi perniagaan salah satu pihak dikehendaki melindungi sampan-sampan dan tongkang-tongkang pihak yang datang berniaga. Sebelum memasuki sesuatu daerah, peniaga-peniaga hendaklah mendapat kebenaran kastam daerah yang hendak dimasuki dan peniaga-peniaga terikat dengan undang-undang di dalam daerah-daerah yang dimasuki. Kedua-dua pihak pula bersetuju untuk menentang lanun-lanun bagi mengekalkan keselamatan perniagaan dan pelayaran.
Perjanjian lapan perkara ini menjadi garis panduan kepada kedua-dua pihak bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen