H. I. D. S. – Perjanjian Inggeris-Belanda 1824

inggeris_belanda_182417 Mac 1824 – Pada hari ini dalam tahun 1824, satu perjanjian ditandatangani di antara pihak Inggeris dengan Belanda. Perjanjian yang lebih dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824 ini meliputi pembahagian tanah- tanah jajahan dan pusat-pusat perniagaan.

Mengenai tanah jajahan, pihak Belanda menyerahkan Melaka serta jajahan takluknya kepada Inggeris. la mengaku tidak akan membuka sebarang tempat di Semenanjung Tanah Melayu ataupun menandatangani sebarang perjanjian dengan mana-mana raja, pembesar ataupun sebarang negeri di Tanah Melayu dan memansuhkan segala tuntutan ke atas Semenanjung Tanah Melayu.

Pihak Belanda juga mengesahkan pendudukan Inggeris di Singapura dan menarik semula semua bantahan mengenainya. Belanda juga dikehendaki menyerahkan kilang-kilangnya di India dan menarik semula semua tuntutannya mengenai kemudahan dan pengecualian.

Pihak Inggeris pula berundur dari Sumatera dan menyerahkan Bangkahulu serta segala hak miliknya di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka, dan tidak akan membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana pemerintah atau pembesar atau membuka penempatan di Sumatera. Pihak Inggeris juga tidak dibenarkan membuka sebarang penempatan atau membuat perjanjian dengan mana-mana pihak di Kepulauan Karimon, Semenanjung Rhio-Lingga dan mana-mana pulau di Selatan Selat Singapura.

Kedua-dua kuasa mengaku tidak akan membuka sebarang tempat baharu tanpa pengetahuan pihak yang lain dan jika mana-mana pihak hendak berundur daripada salah satu kawasannya, pihak itu hendaklah memberi peluang kepada pihak yang lagi satu memilikinya.

Mengenai perniagaan pula pihak Belanda diberi hak monopoli di Kepulauan Rempah tetapi tidak sama sekali di Semenanjung Tanah Melayu; perjanjian-perjanjian monopoli tidak boleh dibuat dengan mana-mana pihak. Kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi “layanan negara istimewa” (most favoured nation treatment) di Ceylon, India dan Semenanjung Tanah Melayu.

Pihak Belanda hendaklah menamatkan perjanjian monopoli bijih timah dengan Perak dan Selangor. Pedagang -pedagang tempatan hendaklah dibenarkan berdagang di pelabuhan -pelabuhan kedua-dua pihak dan juga pelabuhan-pelabuhan tempatan. Kedua-dua pihak juga hendaklah sama-sama membasmi kegiatan-kegiatan lanun.

Hasil daripada Perjanjian ini seluruh kawasan Nusantara telah dikuasai sepenuhnya oleh kedua-dua kuasa itu dan membahagi-bahagikan nya kepada kawasan pengaruh masing-masing. Kedua-dua pihak menentukan Selat Singapura sebagai sempadan kawasan pengaruh mereka Kawasan sebelah utara Selat Singapura diletakkan di bawah pengaruh Inggeris manakala sebelah selatannya pula di bawah pengaruh Belanda.

Kawasan yang banyak terlibat ialah tanah jajahan Johor di mana ia dengan sewenang-wenangnya telah dibahagikan sama ada kepada Belanda atau Inggeris. Dalam hal ini Pemerintah Johor tidak ada suara terhadap satu-satu keputusan yang dibuat mengenai negerinya.

Akibat dari Perjanjian ini Inggeris telah dapat menguasai satu pusat perniagaan bebas yang makmur di tengah-tengah kawasan yang dulunya begitu lama dikuasai Belanda. Dengan menguasai Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura itu maka jalan perniagaan Timur-Barat terbuka seluas-luasnya kepada pihak Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen