H.I.D.S – Perjanjian Ikatan Perdagangan Perak-Syarikat Hindia Timur Inggeris

syarikat hindia timur30 Julai 1818 – Pada hari ini dalam tahun 1818 satu perjanjian telah ditandatangani di antara East India Company atau Syarikat Hindia Timur Inggeris yang diwakili oleh Walter Sewell Gacraft dengan Sultan Perak, Sultan Abdullah.

Perkara-perkara yang terkandung di dalam perjanjian ini ialah seperti berikut:

FASAL I

Keamanan dan persaudaraan yang ujud sekarang di antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dan D.Y.M.M. Raja Perak akan dikekalkan.

FASAL II

Kapal-kapal dan barang-barang dagangan kepunyaan rakyat British, atau orang-orang yang berada di bawah lindungan Syarikat Hindia Timur Inggeris, akan menikmati segala kemudahan dan keistimewaan yang diberi dan yang akan diperolehi oleh negara-negara yang diperkenankan oleh Raja Perak.

FASAL III

Kapal-kapal dan barang-barang dagangan kepunyaan rakyat Raja Perak akan juga menikmati kemudahan dan keistimewaan yang sama, selagi mereka berada di pelabuhan Fort Cornwallis dan di mana-mana tempat taklukan kerajaan British di Pulau Pinang.

FASAL IV

Raja Perak bersetuju tidak akan memperbaharui mana-mana perjanjian lama yang dibuat dengan negara-negara lain, syarikat awam dan orang-orang perseorangan, di mana peruntukan-peruntukannya menafikan atau menghalang perdagangan-perdagangan rakyat Inggeris, dan mereka tidak harus dibebani dengan cukai-cukai yang tidak dikenakan kepada rakyat negara-negara lain.

FASAL V

Raja Perak juga bersetuju tidak akan memberi monopoli barang-barang dagangan dan hasil keluaran daerah-daerahnya kepada sesiapa jua, Eropah atau Amerika atau rakyat lain-lain negara, dan membenarkan rakyat Inggeris untuk datang dan membeli apa jua jenis barangan seperti orang-orang lain.

FASAL VI

Syarikat Hindia Timur Inggeris tidak akan membuat sebarang perjanjian yang akan menafikan atau menghalang rakyat Raja Perak datang berdagang di Pulau Pinang, dan tidak akan membenarkan monopoli sebarang jenis barang dagangan kepada sesiapa jua pun.

FASAL VII

Raja Perak bersetuju tidak akan membenarkan perdagangan hamba sahaja, dan sebaliknya.

FASAL VIII

Perjanjian ini seperti mana yang dinyatakan dalam perkara-perkara di atas adalah bertujuan untuk memupuk suasana aman dan persahabatan di antara Perak dan Pulau Pinang dan menjamin kebebasan perdagangan di antara kedua belah pihak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen