H. I. D. S. – Perjanjian Francis Light-Sultan Kedah 1791

20 April 1971 – Pada hari ini dalam tahun 1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah telah bersetuju membuat dan menetapkan syarat-syarat bagi satu perjanjian dengan kompeni Inggeris. Perjanjian ini ditandatangani oleh Tengku Shariff Muhamad, Tengku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Telebon selaku wakil-wakil Sultan Kedah dengan Francis Light selaku wakil Kompeni Inggeris, di Fort Cornwallis, Pulau Pinang pada 1hb Mei, 1791.

Perjanjian ini mengandungi 9 perkara iaitu:

  • Pertama- Kompeni Inggeris akan membayar 6,000 ringgit Sepanyol tiap-tiap tahun kepada Sultan selagi Pulau Pinang menjadi hakmilik Inggeris.
  • Kedua- Sultan bersetuju tidak akan menghalang atau mengenakan cukai ke atas apa-apa bekalan yang dibeli di Kedah bagi keperluan Pulau Pinang dan kapal-kapal Kompeni Inggeris.
  • Ketiga- Semua hamba yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah akan dikembalikan kepada tuan masing-masing.
  • Keempat- Semua orang yang lari dari hutang, sama ada dari Kedah atau Pulau Pinang akan diserahkan kepada si pemberi hutang.
  • Kelima- Sultan tidak akan membenarkan mana-mana kuasa Eropah yang lain menduduki mana-mana tempat di Kedah.
  • Keenam- Pihak Kompeni tidak akan melindungi orang-orang yang menderhaka atau memberontak terhadap baginda Sultan.
  • Ketujuh- Semua orang yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah kerana kesalahan membunuh akan ditahan dan dipulangkan dengan ikatanjamin.
  • Kelapan- Semua orang yang melakukan penipuan (forgery) hendaklah ditangkap dan diserahkan kepada kedua-dua belah pihak, dan
  • Kesembilan- Sultan tidak akan membekalkan apa-apa barangan keperluan kepada mereka yang bermusuh dengan Kompeni Inggeris.

Perjanjian ini amat penting kepada Inggeris kerana ia merupakan dasar perundangan yang mengesahkan hakmilik Inggeris ke atas Pulau Pinang walaupun Inggeris telah mendudukinya sejak tahun 1786. Sebelum perjanjian itu ditandatangani Francis Light telah mendapat izin Sultan menduduki Pulau Pinang secara tidak rasmi sementara menunggu kelulusan dari London mengenai syarat yang menghendaki Syarikat Hindia Timur Inggeris memberi perlindungan tentera kepada Kedah. Francis Light bersetuju dengan syarat itu tetapi telah mengambil sikap melambat-lambatkan perkara itu dengan memberi jaminan bahawa permintaan baginda sedang mendapat pertimbangan pihak perkuasa di London dan akan berjaya. Bagaimanapun, sebelum persetujuan mengenai syarat itu dicapai Francis Light telah memaksakan perjanjian kepada Sultan Abdullah dan mengambil Pulau Pinang di atas nama King George Ill, England, pada 11hb Ogos, 1786.

Dalam bulan Jun 1788, setelah dipaksa oleh Sultan baru Light mengakui bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris enggan memberi perlindungan tentera kepada Kedah. Memandangkan hal itu Sultan Abdullah menuntut supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah. Untuk lari dari persoalan itu Light menawarkan untuk membeli Pulau Pinang tetapi Sultan enggan. Pihak Syarikat kemudiannya menawarkan gantirugi dan Sultan Abdullah menuntut sebanyak 30,000 ringgit Sepanyol setahun. Tetapi Light hanya sanggup membayar sebanyak 10,000 selama lapan tahun atau 4,000 untuk selama-lamanya.

Sultan Abdullah menegaskan jika pihak Syarikat Inggeris tidak dapat memenuhi syarat-syarat baginda maka Syarikat mestilah meninggalkan Pulau Pinang. Tetapi Lord Cornwalis, Gabenor Jeneral India dan Light telah menganggap Pulau Pinang sebagai wilayah Inggeris mengikut syarat-syarat mereka sendiri.

Dalam bulan Februari 1791 Sultan Abdullah bersetuju menerima sebanyak 10,000 selama-lamanya sebagai ganti keengganan Inggeris memberi perlindungan. Light pula berjanji membayar sebanyak 10,000 ‘serta merta’ dan meminta Sultan menghentikan permusuhan sementara menunggu jawapan dari Bengal. Bagaimanapun Light hanya membayar sebanyak 5,000 dan berjanji untuk membayar bakinya hanya setelah lanun-lanun meninggalkan Perai. Sultan Abdullah murka Ialu memberi kata dua: sama ada Light membayar baki sebanyak 5,000 bersama-sama 10,000 setahun sebagai tunggakan sejak tahun 1786, atau Inggeris tinggalkan Pulau Pinang. Di samping itu Sultan Abdullah memperkuatkan kubu-kubu di Perai.

Light menganggap katadua Sultan Abdullah itu sebagai mengisytiharkan perang. Tanpa membalas katadua itu Light terus mengarahkan Capt. Andrew Glass menyerang Perai secara mengejut pada 12hb April, 1791. Dengan serangan itu pasukan Kedah telah dapat dikalahkan. Sultan Abdullah terpaksa mengakui kekalahan dan berdamai melalui perjanjian yang dipersetujui pada hari ini dalam tahun 1791 dan ditandatangani pada I hb Mei, tahun yang sama.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen