H.I.D.S – Perjanjian Burney

perjanjian-burney
Perjanjian Burney

20 Jun 1826 – Pada hari ini  dalam tahun 1826, Perjanjian Burney telah ditandatangani oleh kerajaan British dan kerajaan Siam. Kapten Burney yang telah dihantar ke Siam sebagai wakil perunding kerajaan British telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan British. Perjanjian tersebut adalah mengenai hubungan kerajaan British-Siam berhubung dengan taraf dan kedudukan negeri-negeri di Utara Tanah Melayu iaitu Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Kapten Burney terpaksa menghadapi rundingan-rundingan yang sukar dan menunggu selama enam bulan di Bangkok sehinggalah akhirnya perjanjian itu dipersetujui. Di antara beberapa artikel yang penting yang telah dipersetujui di dalam perjanjian ini ialah:

  • Kedua-dua kerajaan bersetuju menjalin tali persahabatan di antara satu sama lain dan bersetuju tidak akan campur tangan atau menceroboh atau menyerang wilayah-wilayah yang takluk di bawah kerajaan salah satu pihak;
  • Rakyat British melainkan yang berbangsa Burma, Pegu atau dari keturunan Eropah adalah bebas berniaga dalam jajahan takluk Siam jika mereka memiliki surat-surat rasmi dari pihak Inggeris;
  • Kerajaan Siam berjanji tidak akan menghalang atau mengganggu perdagangan negeri-negeri di Kelantan dan Terengganu. Pedagang-pedagang Inggeris boleh berniaga dengan bebas di Kelantan dan Terengganu seperti mana dahulu tetapi mereka tidak boleh menyerang atau mengganggu negeri-negeri tersebut;
  • Kedua-dua pihak bersetuju supaya Sultan Perak memerintah mengikut kehendaknya sendiri, dan kedua-duanya tidak akan menyerang atau mengganggu negeri tersebut. kerajaan Inggeris tidak akan menghalang Sultan Perak jika baginda ingin menghantar bunga emas kepada Siam. Kedua-dua pihak juga tidak akan menyerang atau mengganggu Perak. Pihak Inggeris tidak akan membenarkan Selangor menyerang atau mengganggu negeri Perak dan manakala pihak Siam pula tidak boleh menyerang negeri Selangor.

Perjanjian Burney 1826 ini tidak disenangi oleh pegawai-pegawai Inggeris di Pulau Pinang terutamanya tentang syarat-syarat yang berkaitan dengan Kedah. Bagaimanapun, Kapt. Burney telah diarahkan oleh Gabenor Fullerton untuk mendapatkan konsesi-konsesi perdagangan di Siam dan menjamin kepentingan-kepentingan perdagangan Inggeris di negeri-negeri Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen