Perjanjian Britain-Siam 1909

10 Mac 1909 – Pada hari ini dalam tahun 1909, Perjanjian Britain-Siam yang dikenali juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani di Bangkok, ibu negeri Siam. Di antara perkara-perkara penting yang terkandung dalam perjanjian ini ialah:

  • Kerajaan Siam bersetuju menyerahkan kepada Britain kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak milik ke atas negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan pulau-pulau yang berdekatan;
  • Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menanggung semua hutang keempat-empat negeri Melayu itu terhadap Kerajaan Siam;
  • Britain hendaklah menyerahkan hak-hak ekstrateritorialnya (extraterritorial rights) di Siam kepada Kerajaan Siam.

Perjanjian itu adalah hasil dari rundingan-rundingan sulit Siam-British mengenai masalah-masalah kawasan pengaruh (bagi British) dan maruah (bagi Siam). Britain khuatir dengan saingan perdagangan dan pengaruh Perancis, Rusia dan Jerman, sementara Siam pula ingin mendapatkan kembali maruah dan dignitinya yang telah hilang akibat hak-hak ekstrateritorial yang terpaksa diberikannya kepada kuasa-kuasa Barat itu-Perancis dan British.

Oleh kerana Kerajaan Siam merasakan sukar untuk mengawal ekonomi dan pentadbiran negeri-negeri utara Tanah Melayu yang berlainan bangsa, budaya dan agama darinya itu dan ingin pula menitikberatkan pembangunan dalam negerinya sendiri, dan Inggeris pula sanggup melindungi negeri-negeri tersebut maka persetujuan pun mudah tercapai.

Hasilnya, pada hari ini dalam tahun 1909, Perjanjian Britain-Siam ditandatangani. Dengan perjanjian itu yang meletakkan Negeri-negeri utara Tanah Melayu-Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu (dulunya Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu) ke dalam kekuasaan British maka seluruh Tanah Melayu termasuk dalam kawasan pengaruh British sepenuhnya. Bagaimanapun perjanjian ini hanya disahkan pada 9 Julai 1909 dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Berikutan dari perjanjian itu, Kelantan adalah merupakan negeri yang pertama menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima Penasihat British pada tahun 1910. Pada 14 Julai 1909, istiadat memindahkan kuasa pemerintahan Terengganu daripada tangan Siam kepada British dilangsungkan.

Bagaimanapun hanya pada bulan April 1910, seorang pegawai British bertaraf Konsul dilantik di Terengganu, dan pada tahun 1919 barulah dilantik seorang Penasihat British apabila Terengganu menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima pemerintahan British.

Kedah pula menerima Penasihat British pada 15 Julai 1910, tetapi hanya menandatangani perjanjian dengan Britain sebagai negeri naungan pada tahun 1923. Pada tahun 1930, Perlis pula menandatangani perjanjian dengan Britain.

Dengan itu Semenanjung Tanah Melayu dikuasai sepenuhnya oleh Britain dan hubungan dengan negeri Siam terus terputus.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen