H. I. D. S. – Perjanjian Antara Sultan Sulaiman Dengan Orang-Orang Belanda Di Melaka

19 Januari 1756 – Pada hari ini dalam tahun 1756, Sultan Sulaiman dari Kerajaan Riau telah membuat perjanjian dengan orang-orang Belanda di Melaka. Pada 6 Januari 1756, Sultan Sulaiman dengan diiringi oleh putera baginda Raja Abdul Jalil Raja di Beroh, Tun Dalam dan Tun Hassan Bendahara Seri Maharaja telah tiba ke Melaka.

Tujuan kedatangan baginda ialah untuk mengucapkan terima kasih kepada Gabenor Belanda di Melaka kerana Belanda telah membantu mengalahkan Raja Alam di Siak. Disamping itu Sultan Sulaiman hendak berbincang mengenai satu perjanjian baru dengan pihak Belanda.

Oleh itu pada hari ini dalam perjanjian antara lain dinyatakan bahawa orang-orang Belanda akan mengambil peluang mendapatkan balik daerah-daerah takluk Sultan Sulaiman yang telah lucut dari tangan baginda dan menyerahkannya balik kepada baginda.

Siak yang berjaya ditawan semula hasil bantuan Belanda, hendaklah diperintah oleh Pemangku Raja yang akan menjaga kepentingan-kepentingan Belanda di situ. Perjanjian ini juga menyebut bahawa orang-orang Belanda boleh menduduki atau meninggalkan tempat mereka di Pulau Guntong.

Selain itu, isi kandungan perjanjian ini menyatakan bahawa kapal-kapal tidak akan dibenarkan masuk ke Siak melainkan surat kebenaran dari Sultan, Kompeni Belanda dan Sultan sahaja yang mempunyai hak monopoli dalam menjual kain-kain di Sungai Siak. Malah bayaran cukai tol, serta Kompeni Belanda juga diberi hak monopoli membeli timah di Selangor, Kelang dan Linggi.

Perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1756 bukan sahaja mengembalikan kekuasaan Sultan Sulaiman tetapi lebih menguntungkan Belanda terutama dari segi monopoli perdagangan. Ini kerana kuasa Eropah yang lain tidak boleh campurtangan dalam pentadbiran Belanda di Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen