H.I.D.S. – Perjanjian Antara Negeri Perak Dan Syarikat Hindia Timur Belanda

Rotterdam by Johan Barthold25 Julai 1746 – Pada hari ini dalam tahun 1746, satu perjanjian antara Negeri Perak dengan Syarikat Hindia Timur Belanda telah ditandatangani. Negeri Perak telah diwakili oleh Sultan Muzaffar Shah dan Belanda pula telah diwakili oleh Gabenor Melaka, H. M. Bernhard Albinus. Perjanjian ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat antara Negeri Perak dengan Syarikat Belanda bagi menghadapi ancaman orang-orang Bugis.

Dalam bulan Disember 1739, orang-orang Bugis telah menyerang Perak bagi kali pertamanya. Ketibaan Daeng Chelak di Perak dalam bulan Jun 1740 untuk menyiasat kematian sepupunya yang telah diracun, amat membimbangkan Sultan Perak. Ketika berada di Perak, Daeng Chelak telah merampas empat buah perahu dan 200 bahara bijih timah. Peristiwa ini telah mendorongkan Sultan Muzaffar Shah untuk mendapatkan bantuan sebuah kuasa lain dalam menghadapi ancaman Bugis.

Ketibaan Syarikat Belanda di Perak memberi peluang kepada baginda untuk mengadakan hubungan persahabatan. Dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, satu perjanjian telah ditandatangani. Antara syarat-syarat penting dalam perjanjian tersebut ialah :-

Sultan bersetuju untuk mengadakan hubungan yang berkekalan dengan pihak Belanda. Baginda yang bersetuju menyerahkan sebuah pulau bernama “Tanjung Putus”, kira-kira 48 kilometer dari Kuala Perak berserta dengan sebidang kawasan tanah ditebing sungai kepada Syarikat Hindia Timur Belanda untuk kemudahan dan keselamatan perdagangan.

Sultan bersetuju untuk membenarkan Syarikat Hindia Timur Belanda sahaja dalam mengutip semua hasil bijih timah dari negeri Perak. Belanda pula bersetuju untuk membeli semua bijih timah dengan harga 26 ’ducatoon’ bagi 375 bahara, serta membayar sebanyak dua rial bagi setiap bijih timah yang telah dieksport kepada Sultan Muzaffar Shah.

Semua kapal yang akan meninggalkan negeri Perak mesti berlabuh di kawasan Syarikat Hindia Timur Belanda untuk diperiksa bagi memgelakkan penyeludupan. Sekiranya di jumpai bijih timah yang cuba diseludupkan, maka ia hendaklah dibahagikan kepada kedua-dua pihak dengan sama rata.

Perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1746, antara negeri Perak dengan Syarikat Hindia Timur Belanda merupakan titik-tolak dalam hubungan Perak dengan dunia luar. Perjanjian ini adalah kali pertamanya ditandatangani oleh Perak dengan sebuah kuasa luar.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen