H. I. D. S. – Perisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur

kuala lumpur seal

Flag_of_Kuala_Lumpur,_Malaysia01 Februari 1972 – Pada hari ini dalam tahun 1972, Kuala Lumpur dengan rasminya diisytiharkan sebagai bertaraf sebagai Bandaraya. Perisytiharan ini dibacakan oleh Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Ong Kee Hui dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Parlimen. Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak telah menyampaikan Surat Perisytiharan tersebut bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kepada Dato’ Ong Kee Hui.

Upacara yang gilang gemilang dan bersejarah ini dihadiri oleh orang-orang kenamaan negara termasuk Menteri-menteri Kabinet, Ketua-ketua Perwakilan Asing, Anggota-anggota Parlimen dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan yang lain. Serentak dengan itu Pesuruhjaya Ibu Kota, Tan Sri Lokman Yusuf dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang pertama.

Peristiwa pengisytiharan penganugerahan taraf Bandaraya ini amat besar maknanya, buat pertama kali dalam sejarah negara sejak negara mencapai kemerdekaan, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan memberikan penganugerahan tersebut.

Sesungguhnya dengan penganugerahan Bandaraya Kuala Lumpur pada hari ini dalam tahun 1972, Kuala Lumpur berkembang dan memainkan peranan penting sebagai pusat pemerintahan, diplomatik, perniagaan, kewangan dan pendidikan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen