H. I. D. S. – Peristiwa Bukit Kepong

23 Februari 1950 – Pada hari ini dalam tahun 1950, Balai Polis Bukit Kepong telah bermandi darah apabila seramai 25 anggota polis dan orang awam telah terkorban dalam pertempuran akibat serangan pengganas-pengganas komunis.

Mereka ialah tiga Pegawai Polis berpangkat rendah, enam anggota polis biasa, tiga anggota polis Marin, dua anggota polis tambahan, lima anggota polis bantuan, dua orang isteri serta dua orang anak anggota polis biasa, dan dua orang awam. Jumlah tersebut tidak termasuk kemalangan di pihak pengganas komunis, di mana tiga orang terbunuh dan 17 cedera. Di samping itu 3 buah bangunan telah musnah.

Serangan telah dimulakan pada waktu subuh oleh segerombolan pengganas komunis seramai 180 orang. Mereka telah mengepung Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu sedang dikawal oleh 3 anggota polis. Apabila tembak menembak bermula kesemua anggota termasuk anak isteri mereka turut membantu dan berjuang hingga ketitisan darah terakhir.

Balai Polis itu tidak berjaya ditawan oleh pengganas-pengganas komunis tetapi keseluruhan Balai telah dibakar dan mengorbankan nyawa anggota polis dan keluarga mereka. Pengorbanan yang dilakukan oleh anggota-anggota polis dengan bantuan orang-orang kampung itu adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai harganya.

Berbekalkan kecekalan dan kekuatan serta beberapa laras senapang, anggota-anggota Balai Polis Bukit Kepong di bawah pimpinan, Sarjan Jamil Mohd Shah telah berjuang mempertahankan balai. Ketabahan dan semangat juang perwira-perwira yang gugur tersebut harus menjadi inspirasi dalam mengekalkan kebebasan, kemerdekaan dan keharmonian negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen