kampung
Sejarah

Perbicaraan Pembunuhan J.W.W. Birch

03 Mac 1876 – J.W.W. Birch merupakan Residen British yang pertama di Perak yang dilantik pada November 1874. Kedatangan Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas.

Pembesar-pembesar Negeri mula merasakan pengenalan sistem Residen yang telah menghakis kuasa Raja dan pembesar-pembesar Melayu. Mereka telah mengadakan satu mesyuarat di Durian Sebatang dan beberapa syor telah dikemukakan tentang cara-cara untuk membunuh J.W.W.Birch.

Pada mesyuarat tersebut Datuk Maharajalela telah bersetuju untuk melaksanakannya dan mengarahkan anak-anak buahnya Pandak Endut, Kulup Ali, Si Putum, Ngah Jabar dan Setuah untuk menjalankan tugas membunuh Birch. Akhirnya pada 2 November 1875 J.W.W. Birch telah berjaya dibunuh di Pasir Salak Kampung Gajah ketika beliau sedang mandi. Kerani J.W.W. Birch, Mat Arshad juga turut dibunuh dalam peristiwa tersebut.

J.W.W. Birch

Satu perbicaraan telah diadakan di Bandar Baru, Perak ke atas Si Putum, Che Gondah dan Ngah Ahmad yang dituduh membunuh Residen British di Perak, J.W.W. Birch. Ketiga-tiga orang yang dituduh itu telah dibicarakan di hadapan Raja Deris yang dilantik oleh Sultan Abdullah untuk menghakimkan perbicaraan itu.

Frank Swettenham, Residen British di Selangor hadir sebagai juri. Ketiga-tiga yang dituduh tidak mengaku salah, akan tetapi terdapat empat orang saksi yang mengaku telah melihat bahawa ketiga-tiga mereka telah melakukan pembunuhan tersebut.

Saksi-saksi tersebut ialah Hamid, yang bekerja sebagai pencuci sampan J.W.W. Birch; Kok Ah Yong, seorang peniaga emas; Mat Tahir, seorang pendayung sampan dan Ho Ah Choy bekerja sebagai tukang masak Kok Ah Yong. Keempat-empat saksi tersebut bersumpah bahawa mereka melihat Si Putum menetak J.W.W. Birch, manakala Che Gondah dan rakan-rakannya menyerang J.W.W. Birch.

Antara Keterangan Daripada Saksi

Hamid menegaskan bahawa Mat Arshad lebih dahulu ditikam oleh Pandak Indut. Mat Arshad yang mengalami kecederaan cuba menaiki perahu naga tetapi ketika itu datang dua orang dan salah seorangnya Si Puntum melukakan Mat Arshad dibahagian kepala.

Mat Tahir pula menegaskan bahawa Mat Arshad ditikam oleh Che Ali atau Kulup Ali. Si Puntum mencederakan Mat Arshad ketika menaiki perahu naga. Juga menyatakan bahawa ketika mandi, nampak kepala Birch tetapi setelah direjam dengan lembing tidak kelihatan lagi.

Seorang tukang emas Koh Ah Yong pula nampak J.W.W. Birch timbul dari dalam air di balik tempat mandinya, cuba menaiki bot apabila Si Puntum menetak kepalanya dengan sebilah pedang yang panjang. Koh Ah Yong melihat dari tingkap di rumahnya kira-kira jarak 15 kaki. Koh Ah Yong menegaskan bahawa beliau tidak nampak Che Gondah menikam J.W.W. Birch dan menafikan Se Tuah menikam Mat Arshad.

Ho Ah Choey pula menyatakan dia nampak Pandak Indut menikam J.W.W. Birch dengan senjata tajam menyebabkan J.W.W. Birch melarikan diri terjun ke dalam air. Kemudian beliau nampak J.W.W. Birch di dalam air di belakang bilik mandinya dan Si Puntum menetaknya dengan sebilah pedang. Dua kali dia menetak J.W.W. Birch.

Khoo Ah Chai menyatakan dia nampak Pak Indut, Panjang Bur dan Che Ali mengoyakkan perisytiharan yang dilekatkan di Kedai Cina itu. Pertengkaran berlaku dan Mat Arshad melarikan diri menuju ke tempat J.W.W. Birch mandi. Beliau dikejar dan ditikam oleh Pandak Indut. Pandak Indut seterusnya menikam Birch bersama dengan Si Puntum.

makam si puntum

Akhirnya setelah mendengar keterangan-keterangan saksi-saksi tersebut, Raja Deris telah mengumumkan ketiga-tiga yang dituduh bersalah dan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Si Putum dan hukuman penjara seumur hidup ke atas Che Gondah dan Ngah Ahmad . Si Putum telah dihukum gantung pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard