H. I. D. S. – Peraturan Tanda Isyarat Lalu Lintas Diwartakan

30 Mac 1946 – Pada hari ini dalam tahun 1946, satu peraturan mengenai tanda isyarat lalulintas bagi kenderaan bermotor telah diwartakan. Peraturan ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya Pengangkutan Jalan yang menggunakan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 5 Pengisytiharan Pengangkutan Jalan dan telah disahkan oleh Timbalan Ketua Hal Ehwal Awam, Semenanjung Tanah Melayu.

Di bawah peraturan ini, tidak dibenarkan meletak sebarang tanda isyarat lalulintas di atas jalan raya, selain daripada tanda isyarat yang diletakkan atau mendapat persetujuan dari penguatkuasa jalan raya. Bagi tanda isyarat yang telah sedia ada pada 1 Mac 1946 di mana tidak termasuk dalam keperluan peraturan ini, Pesuruhjaya bolehlah membenarkan tanda isyarat tersebut disimpan dalam jangka masa yang ditentukan.

Peraturan juga menetapkan, tanda-tanda isyarat yang diletakkan berhampiran atau di atas jalan raya hendaklah mengikut saiz dan jenis tanda-tanda yang ditentukan dalam jadual. Juga ditetapkan perkataan-perkataan yang digunakan pada tanda-tanda isyarat hendaklah dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ke bahasa-bahasa lain adalah dibenarkan digunakan pada tanda-tanda isyarat tetapi hendaklah dituliskan di bawah perkataan Inggeris.

Sesungguhnya peraturan tanda isyarat lalulintas yang diwartakan pada hari ini dalam tahun 1946 dapat membantu pengguna-pengguna kenderaan bermotor menggunakan jalan raya dengan lebih teliti dan bersopan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen