H.I.D.S – Perasmian Jalan Keretapi Pantai Timur

Normal_KTMB05 September 1931 – Pada hari ini dalam tahun 1931, Jalan kereta api Pantai Timur yang menghubungkan Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhamad ke IV bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Cecil Clementi.

Perasmian ini adalah bersempena dengan pembukaan landasan kereta api dari Gua Musang ke Kuala Gris di Kelantan. Pembinaan landasan kereta api pantai Timur itu dijalankan secara berperingkat dari dua hala, iaitu dari Selatan ke Utara dan sebaliknya.

Dari Selatan ke Utara pembinaannya bermula dari Gemas hingga ke kawasan sempadan Negeri Sembilan dan negeri Pahang yang disiapkan pada tahun 1910. Dalam tahun 1912 landasan ini siap dibina hingga ke Kuala Krau di Pahang. Dalam tahun 1917 pula landasan diteruskan hingga ke Kuala Lipis. Dari Kuala Lipis pembinaannya diteruskan ke Padang Tengku dan siap dalam tahun 1921. Pembinaannya diteruskan hingga ke Chigar Perah di Pahang dalam tahun 1923 dan disambung hingga ke Merapoh dan sempadan Pahang-Kelantan dalam tahun 1927. Pada bulan Julai 1930 ia telah siap dibina hingga ke Gua Musang di Kelantan.

Kos pembinaan landasan kereta api tersebut dianggarkan sebanyak hampir RM 39 juta. Dengan siapnya landasan kereta api itu ia bukan sahaja dapat menghubungkan negeri-negeri pantai timur dengan Singapura melalui Johor Bahru tetapi juga dengan negeri Siam melalui jalan kereta api dari Pasir Mas ke pekan Golok yang dibuka pada tahun 1921.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen