H.I.D.S. – Perasmian Bangunan Parlimen

2 November 1963 – Pada hari ini dalam tahun 1963, Bangunan Parlimen Malaysia dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail. Bangunan yang terletak di atas bukit di penjuru timur laut Taman Bunga Kuala Lumpur ini menelan belanja sebanyak $16 juta.

Kerja-kerja pembinaan bangunan ini telah dimulakan pada bulan September 1960 dan direka bentuk oleh Shiplay, arkitek Jabatan Kerja Raya. Perletakan batu asas bangunan ini telah dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 31 Ogos 1962.

Kompleks bangunan Parlimen ini mengandungi dua bahagian yang terbesar, iaitu bangunan utama setinggi tiga tingkat dan sebuah bangunan menara setinggi 18 tingkat. Bangunan utama ini dilengkapi dengan pejabat para Menteri, ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Dewan Jamuan, perpustakaan, surau, bilik akhbar dan kantin. Keistimewaan bangunan Parlimen ini adalah keseluruhan kompleks bangunan ditutupi dengan kaca yang menyerap haba dan meresap cahaya; seluruh bangunan ini ditutup dengan kerawang berukir yang diperbuat daripada batu konkrit buatan tempatan bagi mengawal sinaran matahari dan loji pendingin hawa bangunan ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara, meliputi kawasan seluas sembilan ekar.

Pembukaan rasmi bangunan Parlimen ini merupakan detik bersejarah bagi seluruh rakyat kerana ia melambangkan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen