Perarakan Menentang Penubuhan Malayan Union Di Kedah

04 Februari 1946 – Pada hari ini 4.2.1946, satu perarakan menentang British telah diadakan di Kedah sebagai tanda penentangan orang-orang melayu Kedah ke atas rancangan Malayan Union. Perarakan ini adalah perarakan kedua yang pernah diadakan di negeri Kedah setelah terbitnya Kertas Putih Malayan Union.

Perarakan pertama telah diadakan pada 19 Januari 1946 di Padang Court, Alor Setar dan telah dihadiri oleh kira-kira 50,000 orang. Perarakan kedua ini juga telah diadakan di tempat yang sama di bawah anjuran Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Kira-kira 5,000 orang dari Kesatuan melayu Kedah, SEBERKAS, Kesatuan Ulama Kedah dan Persatuan Pemuda Melayu Kedah telah mengambil bahagian.

Pada mulanya perhimpunan ini diadakan bertujuan untuk menyambut kedatangan Mr. M.C.Howard, Ketua Hal Ehwal Awam, Malaya. Tetapi kedatangan beliau telah dibatalkan dan ianya telah diwakili oleh Lefternan Kolonel J.W.Sumerbill, seorang pegawai tentera British.

Di dalam perhimpunan ini Tuan Haji Hussain Che Dol, Yang Di Pertua Kesatuan Melayu Kedah dan Encik Senu Abdul Rahman, Setiausaha Agung SEBERKAS telah menghuraikan rancangan Malayan Union dan kandungan Kertas Putih. Kedua-keduanya telah menekankan bantahan yang keras, serta mengkritik rancangan-rancangan Malayan Union yang dianggap telah mencabul kedaulatan bangsa Melayu khususnya dan rakyat di negara ini amnya.

J.W.Sumerbill dalam ucapannya pula telah menafikan segala kritikan itu. Beliau menerangkan bahawa Kerajaan British bukanlah ingin mengambil hak Duli Yang Maha Mulia dan menggadaikan negara ini kepada mana-mana kuasa asing. Namun demikian ternyatalah penafian oleh wakil Inggeris itu tidak dapat mengaburi mata 5,000 orang umat Melayu Kedah yang hadir dalam perarakan menentang rancangan Malayan Union itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen