H. I. D. S. – Perang Johor-Jambi

15 Mei 1673 – Pada hari ini dalam tahun 1673, berlaku satu peperangan di antara Johor dengan Jambi. Johor ketika itu di bawah Sultan Abdul Jalil Shah telah dibantu oleh Raja Inderagiri yang telah takluk kepada Johor. Jambi pula diketuai oleh rajanya sendiri, Pengiran Pati Enum yang mendapat bantuan dari Belanda di Betawi.

Peperangan ini berlaku disebabkan oleh pembatalan perkahwinan Yamtuan Muda Raja Bajau, bakal Sultan Johor yang memerintah Pahang dengan salah seorang puteri kepada Pengiran Jambi. Angkatan perang Jambi yang mengandungi sebanyak 15 buah perahu perang telah datang dengan mengejut dan melakukan serangan ke Batu Sawar ibu kota Johor pada masa itu.

Askar-askar Jambi telah dapat merampas sebanyak 100 pucuk meriam dan emas yang ditaksirkan berharga 100,000 rupiah Belanda ketika itu; 2,500 orang Johor termasuk Bendahara Johor telah ditawan oleh askar-askar Jambi. Bagaimanapun seramai hampir 1,200 orang daripada orang-orang tawanan itu telah dapat melarikan diri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen