H.I.D.S – Perang Beting Marau, Sarawak

lanun31 Julai 1849 – Pada hari ini dalam tahun 1849, satu pertempuran telah berlaku di antara orang-orang Iban Saribas dengan angkatan perang James Brooke. Pertempuran ini lebih dikenali sebagai Perang Beting Marau, kerana ia berlaku di beting pasir besar yang dinamakan Beting Marau, terletak di Kuala Sungai Kerian, Sarawak.

Perang yang berlaku ini telah banyak mengorbankan jiwa berikutan pengepungan yang telah dilakukan oleh angkatan perang James Brooke. Peperangan ini dilakukan oleh James Brooke untuk memerangi orang-orang Iban Saribas dan Skrang yang dikatakan perompak-perompak laut. James Brooke dan angkatan perangnya seramai 3,000 orang serta tiga buah kapal perang iaitu H.M.S Royalist, H.M.S Albatros dan Namesis telah mula bertolak dari Kuala Sungai Sarawak pada 24 Julai 1849.

Apabila Brooke mendapat berita tentang satu angkatan perompak laut yang besar telah bertolak meninggalkan Sungai Saribas dan menuju ke Sungai Batang Lupar. Maka pada 27 Julai 1849, James Brooke telah mengarahkan angkatannya mengepung Kuala Sungai Kerian untuk menyerang angkatan perompak laut apabila mereka pulang ke tempat mereka di Sungai Saribas.

Setelah tiga hari angkatan James Brooke menunggu akhirnya berlakulah pertempuran, iaitu ketika perahu-perahu orang Iban Saribas cuba memasuki Sungai Saribas. Pertempuran ini telah mengakibatkan ramai orang Iban terbunuh. James Brooke selepas itu telah menyerang pula perkampungan orang-orang Iban ini dan akhimya satu perjanjian telah ditandatangani oleh 250 orang ketua-ketua Iban Saribas dan Melayu Saribas dengan James Brooke.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen