H. I. D. S. – Perak Mengambil Balik Kawasan Dinding

16 Februari 1935 – Pada hari ini dalam tahun 1935, Negeri Perak telah mengambil balik kawasan Dinding dari Kerajaan Inggeris. Satu upacara menurunkan bendera ”Union Jack” dan menaikkan bendera negeri Perak telah dilangsungkan di Dinding dan disaksikan oleh Sultan Iskandar Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Idris dan Residen Geoffrey Gator.

Dinding yang terletak di antara Pulau Pinang dan Melaka telah menarik perhatian kuasa-kuasa penjajah. Selepas kejatuhan Portugis di tangan Belanda pada tahun 1941, Belanda telah membina sebuah kubu di Dinding.

Setelah Inggeris bertapak di Pulau Pinang, Dinding sekali lagi menjadi sasaran pihak penjajah. Dengan anggapan bahawa kawasan Dinding merupakan sarang lanun, Kapten James Low telah diarahkan oleh Gabenor Pulau Pinang Robert Fullerton, untuk mengambil kawasan Dinding dari Sultan Abdullah. Oleh kerana desakan Kapten James Low, Sultan Abdullah telah menandatangani satu perjanjian dan dengan itu Dinding telah jatuh ke tangan Inggeris pada tahun 1826. Sejak dari itu Dinding telah ditadbirkan dari Pulau Pinang, iaitu sejauh seratus batu.

Pada tahun 1917 masalah pentadbiran dan politik mula dirasai oleh pihak Inggeris di Pulau Pinang. Pentadbiran Inggeris merasai janggal kerana memerintah sebuah kawasan terpencil yang berhampiran dengan Pusat Kerajaan Perak. Oleh yang demikian pihak pentadbiran Pulau Pinang telah meminta Jabatan Tanah Jajahan supaya Kawasan Dinding dikembalikan kepada Kerajaan Perak. Sultan Iskandar Shah sendiri turut mendesak Kerajaan Inggeris supaya kawasan itu diserah balik kepada negeri Perak. Walaubagaimanapun Kerajaan Inggeris enggan menyetujui permintaan-permintaan itu. Tetapi pada tahun 1934, Kerajaan Inggeris akhirnya bersetuju untuk menyerahkan balik kawasan Dinding kepada negeri Perak.

Keputusan ini berdasarkan pada kesedaran bahawa pentadbiran Dinding dari Pulau Pinang telah memakan belanja besar dan tidak memberi keuntungan lagi. Pada 6 Jun 1934 satu perjanjian telah ditandatangani oleh Sultan Iskandar Shah yang bermaksud untuk menyerahkan balik kawasan Dinding kepada negeri Perak. Perjanjian ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen Inggeris pada 16 November 1934. Upacara penyerahan ini telah diadakan dengan rasminya pada hari ini dalam tahun 1935. Dan dengan itu kawasan Dinding telah kembali ke tangan negeri Perak setelah dipisahkan oleh Kerajaan Inggeris selama 109 tahun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen