H.I.D.S. – Penyerahan Pangkalan Raf, Kuala Lumpur Kepada Tudm

tudm kuala lumpur25 Oktober 1960 – Pada hari ini dalam tahun 1960, telah berlangsung upacara penyerahan Pangkalan Tentera Udara Diraja British (RAF) di Kuala Lumpur kepada Tentera Udara Diraja Malaya (TUDM). Upacara penyerahan itu dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu Sir Geofrey Tory kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak.

Sempena penyerahan tersebut, satu upacara perbarisan menurunkan bendera RAF dan mengibarkan bendera TUDM telah diadakan. Ini diikuti dengan penerbangan lintas terakhir pesawat Canberra kepunyaan RAF. Tun Razak menyifatkan hari itu sebagai hari yang bersejarah kepada TUDM kerana mulai saat itu TUDM mempunyai pangkalannya sendiri.

Sejak ditubuhkan pada 2 Jun 1958, TUDM hanya menumpang di pangkalan tersebut. Pangkalan yang terletak di Sungai Besi itu kini dikenali dengan Pangkalan TUDM Kuala Lumpur. la adalah pangkalan pertama RAF di Tanah Melayu dan mula beroperasi sebagai stesen RAF pada 1 Jun 1941. Tujuan ditubuhkan ialah untuk memudahkan operasi RAF bagi mempertahankan Tanah Melayu di samping menjadi pusat perhubungan RAF dengan pangkalannya di Seletar, Singapura.

Walaupun pangkalan ini telah diserahkan kepada TUDM, tetapi Pegawai Memerintah pangkalan ini masih dipinjam dari RAF disebabkan menghadapi masalah kekurangan pegawai dan kakitangan. Hanya sembilan tahun kemudian iaitu pada 31 Mac 1969, anak tempatan telah diserahkan tugas sebagai Pegawai Memerintah. Beliau ialah Group Kapten Mohammed Taib.

Pangkalan ini mencatatkan seiarahnya sendiri. la pernah digunakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum Lapangan Terbang Subang siap dibina. Di sinilah juga TUDM mula ditubuhkan dengan 14 orang anggota dan sebuah pesawat ‘Twin Pioneer’. Dekad demi dekad TUDM terus berkembang maju, kuat dan moden.

Perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh TUDM sesungguhnya adalah bertolak dari penyerahan Pangkalan Udara RAF Kuala Lumpur kepada TUDM pada hari ini dalam tahun 1960. Penyerahan itu memberi peluang kepada TUDM membuktikan kemampuannya memulakan usaha ke arah pertahanan sendiri dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan British di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen