H. I. D. S. – Penyatuan Rembau, Tampin, Sri Menanti

11 Mac 1889 – Pada hari ini dalam tahun 1889, satu perjumpaan telah diadakan di antara Sir Cecil Smith (Gabenor dan Ketua Turus Tanah jajahan dan Negeri-negeri Selat) dengan Pembesar-pembesar Jelebu, Sungai Ujong, Rembau, Sri Menanti dan Tampin. Dalam perjumpaan itu Rembau dan Tampin bersetuju untuk bergabung dengan Sri Menanti.

Daerah-daerah di Negeri Sembilan sebelum tahun 1889 adalah dibahagikan seperti berikut: Jelebu dan Sungai Ujong diletakkan di bawah satu pentadbiran dan mempunyai seorang Residen. Rembau dan Persekutuan Sri Menanti pula berada di bawah kelolaan “Resident Council” di Melaka. Daerah-daerah ini pula mempunyai seorang Pemungut Hasil dan Pendakwa masing-masing.

Oleh itu hanya daerah Tampin yang belum mempunyai hubungan secara langsung dengan Inggeris. Inggeris terpaksa mencari jalan untuk mengawal daerah tersebut. Dan pada hari ini dalam tahun 1889, usaha Inggeris itu berjaya apabila Tampin, Rembau dan Sri Menanti bersetuju disatukan sebagai Konfederasi Sri Menanti. Konfederasi itu bersetuju menerima Residen British dan Martin Lister telah dilantik sebagai Residen yang pertama.

Sir Cecil Smith, pengganti Federick Weld (yang telah bersara dalam bulan Oktober, 1887) telah menjalankan satu polisi untuk mengukuhkan lagi kuasa British dengan menyatukan beberapa daerah yang wujud pada masa itu supaya menjadi unit yang lebih besar. Dengan adanya unit-unit yang lebih besar itu telah memudahkan pengendalian pentadbiran dan kuasa British di Negeri Sembilan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen