H. I. D. S. – Penubuhan Wilayah Persekutuan

flag_wilayah_persekutuan01 Februari 1974 – Pada hari ini dalam tahun 1974, Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya telah diisyhtiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dengan rasminya. Selepas pengisytiharan ini Kuala Lumpur telah dijadikan sebuah wilayah yang dikendalikan oleh Kerajaan Pusat di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan No.2) 1973. Serentak dengan itu kawasan Kuala Lumpur telah diperluaskan lagi dari 93.24 kilometer persegi kepada 243.46 kilometer persegi.

Detik bersejarah yang gilang gemilang penuh dengan adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu itu berlangsung tepat pada jam 10.00 pagi bila Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur di Istana Negara. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam titah ucapannya menyifatkan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan ini maka terciptalah lembaran baru dalam Sejarah Malaysia sebagai hasil pengorbanan yang besar oleh Sultan Selangor untuk membolehkan Kuala Lumpur lahir sebagai lambang kemegahan bangsa dan negara.

Yang Dipertuan Agong juga melahirkan rasa terhutang budi dan penghargaan yang tinggi kepada Sultan Selangor yang telah berkenan menyerahkan semua kuasa dan hak daulat atas ibu kota serta kawasan sekitarnya kepada Kerajaan Malaysia. Sebelum itu Baginda Sultan Selangor bertitah bahawa Kerajaan Negeri menyedari sepenuhnya hasrat Kerajaan Persekutuan hendak memiliki sebuah ibu negara supaya dapat ditadbirkan secara langsung.

Baginda berharap seluruh rakyat Malaysia akan menganggap ibu negara ini sebagai pusat tumpuan taat setia terhadap negara. Ini diikuti pula dengan pengisytiharan Wilayah Persekutuan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada jam 10.21 pagi.

Sesuai dengan kemegahannya sebagai ibu negara, Kuala Lumpur berkembang dengan begitu pesat sekali. Pada 28hb Julai 1978, Wilayah Persekutuan telah diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Badan yang menggerakkan segala kerja pembangunan dan pentadbiran Wilayah Persekutuan ialah Dewan Bandaraya. Datuk Bandar adalah pentadbir dalam organisasi ini dan dibantu oleh Lembaga Penasihat yang terdiri dari Datuk Bandar sebagai Pengerusi, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan 10 orang ahli tidak rasmi.

Dengan perluasan kawasan, Wilayah Persekutuan telah dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu Setapak, Kepong, Kuala Lumpur, Damansara dan Sungai Besi. Pada hari ini dalam tahun 1984 merupakan ulang tahun ke 10 penubuhan Wilayah Persekutuan. Pembangunannya telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Bangunan-bangunan pencakar langit dibina satu demi satu, malah Bandaraya Kuala Lumpur menjadi kebanggaan bukan saja penduduk Wilayah Persekutuan tapi juga masyarakat Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen