Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia (UPM)

upm04 Oktober 1971 – Pada hari ini dalam tahun 1971, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah ditubuhkan. Penubuhan tersebut adalah berasaskan penggabungan Kolej Pertanian Malaya dan Fakulti Pertanian Malaya yang ketika itu di bawah kelolaan Universiti Malaya.

Tujuan penubuhannya adalah untuk memaju dan mengembangkan pelajaran tinggi dalam lapangan Pertanian, Perhutanan, Teknologi, Sains Kemasyarakatan, Bidang Kemanusiaan dan Pendidikan serta mengadakan penyelidikan untuk penyebaran pengetahuan. Kampus Universiti Pertanian Malaysia terletak di Serdang berhampiran dengan lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban dengan keluasan 3,000 ekar.

Universiti ini mempunyai 8 Fakulti seperti Fakulti Pertanian, Kejuruteraan Pertanian, Pengajian Pendidikan, Perhutanan, Perikanan dan Sains Samudera, Ekonomi Sumber dan Perniagaan Tani, Sains dan Pengajian Alam Sekitar serta Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan beserta sebuah Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan. UPM telah mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen yang telah berlangsung pada 30 Julai 1977.

Berikutan dengan perkembangannya pada 3 April 1997, Universiti Pertanian telah diberi nama baru, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohammad.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen