H. I. D. S. – Penubuhan Universiti Malaya

31 Mac 1949 – Pada hari ini dalam tahun 1949, Majlis Perundangan Persekutuan, Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan Rang Undang-Undang Penubuhan Universiti Malaya. Penubuhan universiti ini adalah sejajar dengan kehendak-kehendak yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Carr-Saunders.

Rang Undang-undang ini kemudiannya telah ditandatangani oleh Pesuruhjaya Agung British di Asia Tenggara, Mr Malcom MacDonald selaku Canselornya yang pertama. Dato Onn bin Jaafar, Menteri Besar Johor pada waktu itu telah dilantik sebagai salah seorang daripada Pro-Canselornya. Naib Canselornya yang pertama ialah Dr G. V. Allen.

Sebagai sebuah Universiti yang pertama di negara ini penubuhannya telah disambut dan dialu-alukan oleh semua golongan rakyat. Rang Undang-undang Penubuhan Universiti Malaya itu dianggap sebagai yang paling progresif dan mempunyai implikasi yang menyeluruh dan dinamik kepada perkembangan pelajaran di Tanah Melayu pada keseluruhannya.

Upacara yang menandakan kewujudan Universiti itu telah dilakukan pada 8 Oktober 1949 di Dewan Raffles College, Singapura apabila Raffles College dan King Edward VII College of Medicine diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Universiti Malaya, sebagaimana yang diperlembagakan dalam Rang Undang-undang penubuhannya.

Kerja-kerja pembinaan bagi jangka masa sepuluh tahun yang pertama dianggarkan menelan belanja sebanyak $3 juta, sementara perbelanjaan rencam untuk jangka masa yang sama ialah $5 juta sehingga kini. Universiti Malaya masih terus kekal sebagai sebuah universiti tempatan yang unggul di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen