H. I. D. S. – Penubuhan Perusahaan Automobil Nasional Bhd. (PROTON)

23 Mei 1983 – Pada hari ini dalam tahun 1983, Perusahaan Automobil Nasional Bhd. (Proton) lahir secara rasmi melalui persetujuan yang ditandatangani antara Perbadanan Industri Berat Malaysia (Hicom) dan kumpulan Mitsubishi dari Jepun di Kuala Lumpur.

Dalam upacara menandatangani persetujuan ini, Hicom diwakili oleh Tan Sri Datuk Jamil Rais Mohd Jan, Pengerusi Mitsubishi Motor Corporation (MMC), Dr Tomio Kubo mewakili syarikatnya dan Pengarah Urusan Mitsubishi Corporation (MC) Yoshio Morita menandatangani bagi pihak MC. Melalui persetujuan ini Proton dipertanggungjawabkan mengendalikan pengeluaran kereta-kereta buatan Malaysia yang pertama mulai tahun 1985 di kilangnya di Shah Alam.

Antara persetujuan dan kontrak lain yang dipersetujui oleh Hicom, MMC dan MC ialah persetujuan usahasama, persetujuan bantuan teknikal, persertujuan pinjaman, pemegang saham, kontrak pembinaan bahan dan kontrak bekalan alat-alat kereta. Juga di persetujui ialah pihak Hicom akan memegang saham proton sebanyak 70%, MMC 15% dan MC 15%.

Tidak syak lagi persetujuan yang dicapai pada hari ini dalam tahun 1983 yang melahirkan Proton telah mencatat sejarah dalam usaha merealisasikan cita-cita Kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan kereta buatan tempatan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen