H. I. D. S. – Pentadbiran Tentera British Di Tanah Melayu Tamat

Gen_Sir_Frank_Messervy31 Mac 1946 – Pada hari ini dalam tahun 1946, Pemerintahan Tentera British atau BMA yang memerintah di Tanah Melayu selama kira-kira 7 bulan telah diisytiharkan tamat. Penamatan pemerintahan tentera British itu telah diisytiharkan dengan rasminya oleh Lientenant General Sir Frank M. Messevy sebagai wakil Sir Lord Mountbatten, Pegawai Pemerintah Tertinggi Bersekutu South East Asia Command.

Dengan itu berakhirlah satu era Pemerintahan Kerajaan Tentera yang julung kalinya diadakan di Tanah Melayu. Pemerintahan Tentera British atau BMA di Tanah Melayu bermula pada 12hb. September, 1945 setelah Jepun menyerah kalah. Pemerintahan secara tentera itu diletakkan di bawah arahan Sir Lord Mountbatten, Pegawai Pemerintah Tertinggi, Tanah Melayu. Ia dibahagikan kepada 9 wilayah di mana tiap-tiap wilayah diletakkan di bawah arahan Ketua-Ketua Wilayah yang dilantik sendiri oleh Pegawai Pemerintah Tertinggi.

Pembentukan Pemerintahan Tentera British yang dilaksanakan oleh Kerajaan British mempunyai matlamat dan tujuan tertentu di antara lain:-

Untuk mengamankan, mengawal serta memulihkan keselamatan Tanah Melayu akibat masalah perkauman dan bekalan makanan;

Untuk menghapuskan kegiatan dan ideologi komunis yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM);

Untuk mengawal pergerakan nasionalisme yang aktif dan radikal yang dipengaruhi oleh nasionalis Indonesia untuk menyatukan Tanah Melayu menjadi sebahagian Indonesia;

Di dalam usaha-usaha untuk mencapai matlamat dan tujuan ini kerajaan tentera British atau BMA telah membentuk berbagai badan perancang yang bertanggungjawab dalam hal-hal pertahanan, perubatan, perhubungan, politik, teknikal, pengangkutan, pembekalan dan lain-lain. Sungguhpun berbagai badan telah dibentuk, BMA tidak berjaya memulihkan ekonomi Tanah Melayu seperti diharapkan oleh Kerajaan British.

Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan BMA berjaya di dalam usahanya memulihkan keamanan dan keadaan keselamatan yang membolehkan Inggeris berkuasa kembali di Tanah Melayu. Kerajaan Inggeris merasakan perubahan politik Tanah Melayu perlu dilakukan dengan membentuk semula sebuah kerajaan awam.

Pada 18 Mac, 1946, Lord Mountbatten telah mengarahkan pegawai-pegawainya bersiap sedia ke arah penamatan pemerintahan tentera British atau BMA ditamatkan dan digantikan dengan sistem pentadbiran baru yang dikenali dengan nama Malayan Union pada 1 April, 1946.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen