H. I. D. S. – Pengumuman Penubuhan Majlis Sukan Negara

majlis_sukan_negara05 Mac 1969 – Pada hari ini dalam tahun 1969, penubuhan Majlis Sukan Negara telah diumumkan. Usul penubuhan Majlis Sukan Negara telah diluluskan oleh kabinet pada 27 April 1971 dan ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979).

Majlis Sukan Negara telah dilancar secara rasmi pada 21 Februari 1972 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. Pada peringkat awal penubuhannya, program-program sukan berprestasi tinggi dilaksanakan di bawah kendalian Bahagian Sukan, Kementerian Belia dan Sukan.

Matlamat penubuhan Majlis ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara, iaitu bertanggungjawab sepenuhnya ke arah penggalakan, pembangunan dan pencapaian cemerlang sukan dalam pertandingan peringkat tertinggi. Manakala objektif penubuhannya adalah:

  • memaju dan mempertingkatkan prestasi atlet negara daripada peringkat Tunas, Bakat, Pelapis dan Elit bagi menyertai pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa;
  • mempertingkatkan kualiti, pengetahuan dan kemahiran jurulatih, pegawai teknikal dan pegawai pentadbir sukan tempatan;
  • menyediakan peluang penyertaan yang lebih luas dalam bidang sukan peringkat negeri dan daerah;
  • menyediakan program perkhidmatan, khidmat nasihat, kepakaran, dokumentasi, perpustakaan, penyelidikan sains serta perubatan sukan;
  • memperuntukkan Skim Galakan dan ganjaran untuk atlet, jurulatih dan pentadbir sukan sebagai dorongan ke arah peningkatan prestasi yang tinggi;
  • membantu, memperbaiki dan memperkemaskan persatuan dan pertubuhan sukan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan;
  • membantu memperkemaskan jentera pentadbiran Majlis Sukan Negeri dan merancang bersama pelaksanaan program pembangunan sukan peringkat kebangsaan;
  • merancang dan menguruskan kemudahan sukan yang diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis; dan
  • menyelaras pengelolaan Sukan Malaysia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen