H.I.D.S – Pengumuman Pengampunan Beramai- Ramai

08 September 1955 – Pada hari ini dalam tahun 1955, Kerajaan telah mengumumkan Perisytiharan Pengampunan Beramai-ramai kepada pengganas-pengganas komunis di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivary.

Risalah perisytiharan pengampunan beramai-ramai itu telah ditandatangani bersama oleh Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Leftenan Jeneral Bourne, Pengarah Gerakan menentang pengganas-pengganas komunis di Tanah Melayu.

Jeneral Bourne dalam satu kenyataannya mendakwa, “bahawa tawaran pengampunan beramai-ramai ini adalah tawaran kerajaan Inggeris”. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri dan pemimpin kerajaan Perikatan UMNO, MCA, MIC menafikan dakwaan Jeneral Bourne itu. Dalam satu sidang akhbar pada hari ini dalam tahun 1955 Tunku telah menjelaskan, “bahawa tawaran pengampunan beramai-ramai ini adalah daripada fikiran pihak Perikatan dan mengemukakan kepada kerajaan Inggeris apabila Parti Perikatan menang dalam pilihanraya bulan Julai, 1955.”

Sebanyak 30 juta risalah mengenai pengampunan beramai-ramai telah diedar dan disebarkan di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Risalah-risalah itu mengandungi perutusan-perutusan dari Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman dan perisytiharan pengampunan beramai-ramai serta pasukan keselamatan untuk pengganas-pengganas yang ingin menyerah diri yang ditandatangani oleh Jeneral Bourne.

Risalah perutusan daripada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu berhubung dengan pengampunan beramai-ramai itu menjelaskan beberapa perkara.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sekarang adalah sebuah kerajaan yang dibentuk dan dipilih oleh rakyat. Oleh itu adalah sia-sia bagi pihak pengganas komunis hendak menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Orang-orang yang menerima pengampunan beramai-ramai tidak akan didakwa bersabit sebarang kesalahan yang dilakukan selama ini berhubung dengan darurat. Kerajaan akan menolong mereka yang bertaubat daripada menjalankan gerakan komunis, dan orang-orang yang bertaubat akan dibenarkan bawa ke tempat masing-masing untuk hidup aman bahagia, seperti sediakala di samping keluarga.

Seseorang pengganas yang menerima pengampunan beramai-ramai dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, dapat membuktikan dianya benar-benar jujur dan boleh menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang taat setia boleh juga mendapatkan pekerjaan dalam angkatan tentera Kerajaan, dan sekiranya mereka berhajat untuk balik ke negeri asal mereka kerajaan akan memberi pertimbangan dan bantuan yang perlu.

Perisytiharan pengampunan beramai-ramai itu membuktikan hasrat Kerajaan Perikatan dengan penuh jujur dan ikhlas untuk membentuk sebuah negara Persekutuan Tanah Melayu ke arah mencapai kemerdekaan dan keamanan serta kemakmuran.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen