H. I. D. S. – Pengumuman Pembentukan Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan

480px-KBS_Logo02 Mei 1964 – Pada hari ini dalam tahun 1964, Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan penubuhan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Pengumuman ini dibuat berikutan dengan penyusunan semula kabinet. Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman merangkap Menteri Luar, juga bertanggungjawab kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ini.

Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan ini ditubuhkan bagi melaksanakan usaha-usaha ke arah mewujudkan satu kebudayaan kebangsaan, menyatupadukan belia serta membolehkan kaum belia memainkan peranan yang berguna serta produktif dalam pembangunan negara, dan juga meninggikan taraf sukan kebangsaan hingga ke peringkat antarabangsa.

Semenjak Kementerian ini ditubuhkan berbagai projek Kebudayaan, Belia dan Sukan telah dilaksanakan. Dalam bidang kebudayaan berbagai rancangan telah diatur untuk memupuk, memelihara dan memperkembangkan kebudayaan kebangsaan seperti mengeluarkan bahan-bahan penerangan dalam berbagai bentuk, mempergiat aktiviti kebudayaan dan kesenian serta pendidikan kebudayaan secara formal dan tidak formal.

Menggerakkan tenaga belia untuk menjalankan kegiatan berguna dan berfaedah demi untuk kebaikan mereka sendiri, masyarakat dan negara adalah matlamat Bahagian Belia, Kementerian ini. Dengan itu berbagai rancangan telah diusahakan seperti rancangan belia berniaga, perniagaan penjaja, projek Belia Peladang, Perusahaan Berasaskan Pertanian, Koperasi dan lain-lain.

Dalam bidang sukan pula Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan ini telah berusaha mengadakan berdisiplin berbagai rancangan sukan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang teguh, sihat, bersatu padu dan supaya semua lapisan masyarakat dapat melibatkan diri dengan cergas dalam pembangunan negara dan seterusnya dapat meninggikan imej negara di peringkat antarabangsa dalam bidang sukan.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan diharapkan dapat menjadi Institusi yang bertanggungjawab mewujudkan satu masyarakat yang bersatupadu berdasarkan kepada satu Kebudayaan Nasional di samping melahirkan para belia yang produktif dalam satu masyarakat yang sihat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen